Untaian Langkah

Tuesday, September 08, 2009

Khutbah Aidilfitri 1430H

Intro ;

Muslimin muslimat sidang jemaah sekelian,


Saya berpesan kepada diri saya dan muslimin muslimat sekelian, bertakwalah kita kepada Allah S.W.T. dengan sebenar-benar takwanya. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa kepada Allah s.w.t.


Muslimin muslimat ,


Mudah-mudahan ibadah puasa serta ibadah-ibadah lain yang telah kita tunaikan sepanjang Ramadhan tahun ini melahirkan sifat takwa di dalam diri masing-masing. Sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam Al Quran yang bermaksud ;


" Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa kepada Allah S.W.T."


Mudah-mudahan kita tidak termasuk ke dalam salah satu golongan di antara 3 golongan yang rugi dan celaka kerana Ramadhan datang dan pergi tetapi mereka masih tidak berubah menjadi lebih baik. Seolah-olah Ramadhan yang dilalui tidak memberi apa-apa kesan kepada jiwa nuraninya.


Allahu Akbar3x


Hari raya ini merupakan salah satu janji kegembiraan yang Allah berikan kepada orang-orang yang berpuasa benar-benar kerana Allah. Pertama, kegembiraan semasa berbuka puasa atau menyambut hari raya .Kedua kegembiraan ketika bertemu dengan Allah s.w.t. di akhirat nanti. Di mana Allah s.w.t menyediakan pintu syurga yang hanya dikhaskan kepada orang-orang yang berpuasa bernama al Rayyan.


Allahu Akbar 3x


Seterusnya, marilah di saat kita bergembira ini, kita tidak lupa untuk saling bermaaf-maafan antara kita seandainya ada kesilapan dan kealpaan yang terjadi antara kita sama ada secara sedar ataupun tidak. Marilah sama-sama kita jalinkan terus tali persaudaraan dan silaturrahim semoga dengan itu keakraban kasih serta sayang berpaksikan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T antara kita akan terus berkekalan.


Seandainya kita mempunyai kemampuan walau sekecil mana sekalipun, hulurkanlah sumbangan kita kepada golongan yang memerlukan sempena Aidilfitri ini. Ukuran di sisi Allah S.W.T. bukan bergantung kepada sedikit atau banyak sumbangan yang dihulurkan tetapi bergantung kepada keikhlasan kepada Allah S.W.T.


Firman Allah maksudnya : "Dan sesiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarrah, akan dilihatnya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarrah, nescaya akan dilihatnya."


Allah Akbar 3x


Ramadhan kali ini diharap benar-benar menjadikan kita semua hamba-hamba Allah yang tunduk dan patuh kepada Allah adalah semata-mata kerana rasa cinta dan kasih kepada Allah S.W.T. Rasa cinta dan kasih itu telah dibuktikan dengan meninggalkan perkara-perkara yang dihalalkan pada bulan-bulan yang lain selain Ramadhan. Semua itu kerana kita yakin dengan sepenuh hati bahawa segala titah perintah Allah wajib dipatuhi tanpa perlu banyak dipersoalkan kenapa dan mengapa.
Allah Akbar 3x
Sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Berkuasa atas segala sesuatu seandainya sesuatu itu dilaksanakan semata-mata ikhlas kerana Allah Taala. Meninggalkan yang diharamkan oleh Allah Taala, insyallah akan mendapat anugerah yang halal daripada Allah Taala jika semua itu dilaksanakan semata-semata kerana Allah S.W.T.
Diriwayatkan pernah seorang lelaki berjalan-jalan di sekitar Madinah. Perutnya ketika itu sungguh lapar kerana sudah beberapa hari dia tidak makan. Keheningan malam itu menambahkan lagi kepedihan perutnya. Tiba-tiba dia terhidu bau makanan di luar sebuah rumah. Oleh kerana imamnya yang masih belum cukup kuat pada masa itu, dia segera menyusup memasuki rumah itu. Sudah tentu tanpa izin tuan rumah.
Lelaki itu ternampak makanan yang menyelerakan terhidang di satu sudut rumah. Segera dia ingin mencapai makanan itu tetapi segera pula teringat akan kata-kata Rasullullah S.A.W. "Barangsiapa yang meninggalkan yang haram, dia akan mendapat yang halal".
Lantaran itu tidak jadi dia hendak mengambil makanan itu. Dia pun berpaling hendak pergi, namun matanya terpandang sesuatu yang menarik perhatiannya iaitu barang kemas. Ketika barang kemas itu sudah berada dalam gengamannya. Tiba-tiba dia teringat suruhan Rasulullah S.A.W. supaya meninggalkan yang haram, nanti akan mendapat yang halal. Perlahan-lahan barang kemas itu diletakkan semula ditempatnya. Dia pun segera hendak meninggalkan tempat itu dengan rasa bersalah.
Namun, ketika dia berjingkit-jingkit berjalan melintasi sebuah bilik, terpandang olehnya seorang wanita yang sedang tidur lena. Dia pun memasuki bilik itu dan menghampirinya. Maka berlakulah perebutan antara nafsu dan bisikan malaikat ketika itu. Nafsu yang pada mulanya bergelojak untuk menyentuh wanita itu akhirnya dikalahkan oleh bisikan malaikat. Lelaki itu beristighfar lalu segera melangkah meninggalkan rumah itu.
Selepas solat subuh, lelaki itu pun merebahkan badan di satu sudut masjid kerana terlalu mengantuk. Berbalik kepada wanita itu tadi. Apabila bangun dari tidur, tahulah bahawa rumahnya telah dimasuki orang. Dia pun pergi bertemu Rasulullah s.a.w. untuk mengadu dan memohon seorang pengawal supaya dapat menjaga keselamatan hartanya. Rupanya wanita itu seorang janda yang kaya. Rasulullah s.a.w. pun memandang sekeliling sekiranya terdapat orang yang boleh ditugaskan menjadi pengawal. Baginda terpandang lelaki yang sedang tidur itu. Baginda pun menemuinya dan bertanya sama ada lelaki itu sudah beristeri. Ternyata lelaki itulah adalah duda yang kematian isteri. Oleh sebab itulah dirinya tidak terurus.
Bagi menyelesaikan masalah wanita tadi, Rasulullah pun mencadangkan kedua-duanya berkahwin. Wanita itu menyatakan kesanggupannya. Namun lelaki itu terus menangis sambil menceritakan kepada Baginda apa yang sebenarnya berlaku di rumah wanita itu dan dia benar-benar bertaubat.
Rasulullah s.a.w. gembira kerana lelaki itu berjaya dalam menangani nafsunya. Baginda pun menikahkannya dengan wanita tersebut disaksikan para sahabat r.a.
Ternyata benarlah apa sahaja yang disabdakan oleh Baginda. Barangsiapa yang meninggalkan yang haram, dia akan mendapat yang halal. Allah s.w.t. telah mengurniakan lelaki itu hadiah yang halal atas ketakwaannya. Sekiranya kita mengaku menyintai Rasulullah s.a.w.., yakinlah setiap apa yang disampaikan Baginda kepada kita. Berusahalah meninggalkan perkara-perkara yang haram kerana Allah s.w.t. supaya Allah mengurniakan segala yang halal untuk kita.
Allah Akbar 3x
Suatu hari Junaid Al Baghdadi sakit matanya. Dia diberitahu oleh seorang tabib, jika ingin cepat sembuh jangan sampai matanya terkena air.
Ketika tabib itu pergi, dia nekad untuk berwudhuk membasuhkan mukanya untuk solat kemudiannya tidur. Anehnya, sakit matanya malah menjadi sembuh. Saat itu terdengar suara 'Junaid menjadi sembuh matanya kerana ia lebih redha kepadaKU. Seandainya ahli neraka minta kepadaKU dengan semangat Junaid nescaya Aku luluskan permintaannya' kata suara itu.
Tabib yang melihat mata Junaid sembuh itu menjadi kehairanan. "Apa yang engkau lakukan"
"Aku telah membasuh muka dan mataku kemudian solat". katanya
Tabib itu yang memang beragama Nasrani dan setelah melihat peristiwa itu, dia beriman kepada Allah s.w.t. Itu ubat dari Tuhan yang menciptakan sakit itu. Dia pulalah yang menciptakan ubatnya. Aku ini sebenarnya yang sakit mata hatiku dan Junaidlah tabibnya.
Semoga 2 kisah ringkas ini dapat menyuntik samangat Ramadhan yang telah sama-sama kita bina sepanjang Ramadhan lalu untuk menjadi insan-insan yang lebih bertakwa kepada Allah s.w.t.
Allah Akbar 3 x
Akhirnya marilah kita sama-sama mengingatkan diri masing-masing supaya sentiasa berwaspada dalam menyambut hari raya Aidil Fitri ini. Sambutan yang melampau-lampau bukanlah dari ajaran Islam yang kita anuti bersama. Melebihkan sambutan hari raya daripada ibadah pada bulan Ramadhan seakan telah menjadi budaya yang telah menjalar dan menular dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan kita dilindungi Allah daripada termasuk dalam golongan tersebut.
Insyaallah, budaya kunjung mengunjung, perlulah diteruskan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita. Kita berdoa semoga Allah memberikan kekuatan supaya kita semua dapat meneruskan puasa 6 hari pada bulan Syawal sama ada secara berturut-turut atau secara berselang seli demi mendapat redha Allah.
Firman Allah
Maksudnya " Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, ialah mereka yang ketika disebut nama Allah menjadi takut hatinya dan apabila dibacakan kepadanya (ayat-ayat) keterangan-keteranganNya, bertambah keimanannya kerana itu dan kepada Tuhan mereka , mereka bertawakkal.
Barakallah.
*Khutbah ini pernah disampaikan pada hari raya 1429H di surau Kampung Bukit Kulim, Marang, Terengganu.
Razak Nordin berpesan ; Terima kasih kepada jemaah yang telah memberikan penghargaan peribadi kepada aku atas khutbah yang disampaikan itu.
Saya ada "cara saya" dalam menyampaikan khutbah atau sebarang ucapan. Pilihlah gaya penyampaian yang anda suka dan harap-harap orang lain pun suka mendengarnya.

Share/Bookmark

3 comments:

Yasir bin Othman said...

BOLEH PINJAM KHUTBAH NI,,,,, NAK BACA DI SURAU JAMALIAH OMAR

Ibnnordin said...

Ambiklah....tapi kena bayaq royaltilah...huhuhuhu..

adanz said...

surau jamaliah tu hanya memadai baca kitab dua halaman tanpa skrip je.....