Untaian Langkah

Wednesday, May 02, 2012

Mukmin Haq- Dicari Generasi

Dan lagi, nota untuk diriku.

Maksud firman Allah SWT.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, bertambahlah iman mereka kerananya dan kepada Robb mereka, mereka bertawakkal". (Anfal : 2)

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
"Setiap mata berzina dan bentuk zinanya adalah melihat (sesuatu yang haram), telinga berzina dan bentuk zinanya adalah mendengar (sesuatu yang dilarang oleh Allah), tangan juga berzina dan bentuk zinanya adalah memukul( orang lain tanpa haq), kaki juga berzina dan bentuk zinanya adalah berjalan ( menuju tempat yang diharamkan oleh Allah)". (HR Bukhari dan Muslim).

Imam Hasan al Bashri mengatakan :
"Keimanan itu bukanlah hanya sebuah hiasan dan bukan pula sebuah angan-angan, namun iman adalah sesuatu yang tertanam kukuh di dalam hati dan direalisasikan dalam bentuk aktiviti".

Terdapat suatu riwayat yang cukup menarik dalam menggambarkan peribadi yang telah sampai pada tahap keimanan yang sebenar. Seorang sahabat, al Harith bin Malik Al Ansari bertemu Rasulullah SAW kemudian baginda menyapanya :
"Bagaimana keadaanmu pagi ini, ya Harith. Al Harith menjawab : " Pagi ini akau dalam keadaan beriman sungguh-sungguh". Rasulullah bersabda lagi : "Perhatikanlah apa yang engkau katakan kerana sesungguhnya segala sesuatu itu ada hakikatnya, apa hakikat keimanannmu?". Jiwaku telah menjauhi dunia, sehingga aku memanfaatkan waktu malamku untuk qiyamullail, memanfaatkan waktu siangku untuk berpuasa dan seakan-akan aku melihat arasy Rabbku di depan mataku, seakan aku melihat ahli syurga saling berziarah di dalmnya dan ahli neraka menjerit-jerit kesakitan, jawab Harith. Kemudian Rasulullah SAW bersabda : "Ya Harith, engkau telah makrifah maka peganglah dengan teguh". (HR at Thabarani).

Maka selayaknyalah kalau keimanan seperti ini dapat menjadikan hati seseorang mempunyai ciri-ciri seperti berikut :

1. WAJAL(BERGETAR)
Rasulullah SAW pernah merasai perasaan wajal(bergetar) ketika membaca suatu ayat sehingga baginda menangis. Diriwayatkan dari Abdullah bin Amr bin Ash, bahawasanya Nabi SAW membaca firman Allah (5: 118) yang ertinya :
"Jika engkau (Allah) menyiksa mereka maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu dan jika Engkau mengampuni mereka maka sesungguhnya Engkau Maha Perkasa dan Maha Bijkasana". Setelah mendengar ayat tersebut, Rasulullah SAW mengangkat tangannya seraya berdoa dan menangis : "Ya Allah...ummatku.." Allah berfirman kepada Jibril : "Pergilah kepada Muhammad dan tanyakan apa yang menyebabkannya menangis?". Datanglah Jibril kepada Rasulullah SAW dan menanyakannya. Setelah selesai ia kembali menghadap Allah dan Allah berfirman : " Hai Jibril, pergilah engkau kepada Muhammad dan katakan : " Sesungguhnya Aku akan meredhai ummatmu dan tidak akan menyakitimu" (HR Ibnu Abi Hatim).

2. TAWAKKAL
Maksud firman Allah :
"Iaitu orang-orang (yang taat kepada Allah dan RasulNya) kepada mereka ada yang mengatakan : "Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka, maka perkataan itu telah menambahkan keimanan mereka dan mereka menjawab : "Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Penolong". (Al Imran :173).

Balasan Allah bagi orang yang mempunyai tawakkal yang tinggi sungguh luar biasa. Mereka akan masuk syurga tanpa hisab. Rasulullah SAW bersabda :
"Akan masuk syurga dari ummatku 70 ribu orang tanpa dihisab. Para sahabat bertanya : "Siapakah mereka itu, ya Rasulullah?" Rasul menjawab : "Mereka adalah orang-orang yang tidak menggunakan ruqyah(jampi), tidak bertathoyyur (bersikap pesimis kerana sesuatu, misalnya kerana suara burung hantu), tidak melakukan kay(berubat dengan besi yang dipanaskan) dan kepada Allah mereka bertawakkal". (HR Muslim).

Mufassir Ibnu Katsir menjelaskan tentang hakikat tawakkal:
"Mereka adalah orang-orang yang tidak mengharapkan, menuju, berlindung, memohon bantuan dan mencintai kecuali hanya kerana Allah semata-mata. Mereka tahu bahawa apa yang dikehendaki Allah akan terjadi dan apa yang tidak dikehendaki Allah tidak akan terjadi. Dialah yang mengatur kekuasaanNya, tidak ada sekutu bagiNya dan tidak ada yang dapat menolak ketetapanNya dan Dialah yang Maha cepat hisabNya".

Said bin Jubair mengatakan : "Tawakkal kepada Allah merupakan puncak keimanan".

3. MENEGAKKAN SOLAT
Solat merupakan sarana kebahagiaan yang sangat tinggi dan dapat melupakannya dari segala macam persoalan keduniaan yang terkadang menghimpit kehidupannya sehingga Rasulullah SAW pun pernah bersabda : "Dan jadikan solat itu sebagai penyejuk mataku".

Bahkan seorang tabi'in bernama Urwah bin Zubair tatkala kainya mesti dipotong, dia meminta kakinya itu dipotong semasa dia sedang sujud dalam solat agar  tidak merasai sakitnya. Solat yang ditegakkan akan membentuk jiwa yang bersih sehingga aktivitinya selalu positif, tidak pernah berkeluh kesah dan tidak pernah merugikan orang lain. Firman Allah yang bermaksud :
"Sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat keluh kesah dan apabila ditimpa dengan kebaikan maka dia amat kikir, kecuali orang-orang yang mengeerjakan solat". (70 : 19-22)

4. SENTIASA BERINFAQ
Uqbah bin Harith meriwayatkan, maksudnya :
"Rasulullah SAW solat asar berjamaah bersam akami, baginda bersegera dalam solatnya kemudian masuk ke dalam rumahnya. Tidak lama kemudian baginda keluar, aku bertanya kepada baginda mengapa ia berbuat demikian. Rasulullah SAW menjawab : Aku telah meninggalkan gandum di rumah sebagai sedekah, aku tidak ingin benda itu berada di rumahku sampai malam berlalu, maka aku membahagi-bahagikannya". (HR Bukhari)

Menjelang kedatangan ajal baginda, Sahl bin Said berkata: 
"Rasulullah SAW mempunyai tujuh dinar yang baginda kirimkan kepadaAisyah. Ketika baginda sakit, baginda bersabda: " Ya Aisyah, pergilah kamu kepada Ali dengan wang emas itu". Rasulullah SAW kemudian pengsan dan Aisyah sibuk memikirkan keadaan suaminya itu, sehingga Rasulullah SAW mengulangi perkataan perkataan itu berkali-kali. Akhirnya wang itu dikirimkan kepada Ali ra dan disedekahkan. Pada malam harinya (malam Isnin) Rasulullah SAW wafat". (HR at Tobrani, sahih)

Janji Allah untuk mukmin sebenar adalah sangat mahal dan tinggi, iaitu berupa darjat yang agung dan rezeki yang mulia, yang tidak diperolehi kecualui dengan perjuangan dan keseriuasan di dalam menundukkan hawa nafsu dan syaitan.

Allahua'lam.

Share/Bookmark

No comments: