Untaian Langkah

Friday, May 25, 2012

Menjadi Burung Yang Sihat

Diceritakan, Ibrahim bin Adham berjumpa dengan Syaqiq al-Balkha di Mekah. Ibrahim bertanya, “Bagaimana mulanya sehingga kamu jadi demikian?” Syaqiq menjawab, “Aku melalui sebuah padang pasir. Kulihat seekor burung patah kedua sayapnya di situ. Maka aku berkata : Cuba lihat dari mana dia mendapat rezeki. Lalu aku memerhatikannya. Tiba-tiba kulihat seekor burung membawa belalang pada paruhnya, menghampiri dan menyuapi burung yang telah patah sayapnya itu. Maka kuberkata, “Sesungguhnya Zat yang menentukan burung ini dan burung itu adalah kuasa memberiku rezeki di manapun aku berada. Maka aku tinggalkan bekerja dan aku menyibukkan diriku dengan beribadah.” Ibrahim berkata, “Mengapa engkau tidak ingin menjadi burung yang sihat yang memberi makan kepada burung yang cacat itu sehingga lebih mulia daripadanya? Tidakkah engkau mendengar Rasulullah SAW bersabda :

“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah”

“Sepatutnya engkau tahu bahawa tanda seorang mukmin selalu mencari yang lebih tinggi di antara dua darjat dalam segala urusannya. Sehingga engkau mencapai makam orang-orang abrar.

Kemudian Syaqiq memegang tangan Ibrahim dan menciumnya sambil berkata, “Adalah engkau guruku wahai Aba Ishaq.”

Berkata Ibnu Mas’ud, “Setiap orang adalah tetamu sedangkan hartanya adalah pinjaman. Tetamu mesti pulang dan pinjaman mesti dikembalikan.”

Share/Bookmark

Thursday, May 24, 2012

Dua Atau Tiga Utusan Itu

Diceritakan bahawa Nabi Yaaqub as bersahabat dengan Malaikat Maut. Maka pada suatu ketika Malaikat Maut datang kepada Nabi Yaaqub as. Nabi Yaaqub berkata, "Wahai Malaikat Maut engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?" Malaikat Maut menjawab, "Untuk berziarah sahaja."

Lalu Nabi Yaaqub as berkata, "Aku mempunyai permintaan kepadaMu." Malaikat Maut bertanya, "Apakah permintaanMu?" Nabi Yaaqub menjawab, "Bila ajalku telah delat dan engkau hendak mencabut nyawaku, hendaklah kau beritahu aku terlebih dahulu." Malaikat Maut menjawab, "Baiklah, aku akan mengutus kepadamu dua atau tiga utusan."

Maka ketika ajal Nabi Yaaqub as telah sampai, Malaikat Maut datang lagi kepadanya, lalu ditegur Nabi Yaaqub, "Apakah engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?" Malaikat Maut menjawab, "Aku datang adalah untuk mencabut nyawamu." Nabi Yaaqub bertanya dengan hairan, "Bukankah engkau telah berjanji kepadaku hendak mengutus dua atau tiga utusan terlebih dahulu?"

Malaikat Maut menjawab, "Benar dan aku telah melakukannya. Putihnya rambutmu setelah hitam, lemahnya badanmu setelah kuat dan membongkoknya tubuhmu setelah tegap, itu adalah utusanku wahai Yaaqub kepada manusia sebelum ia mati." 

Waktu terus berlalu
Sedangkan dosa kian bertambah
Malaikat Maut datang bertamu
Namun hati tetap lalai
Nikmatmu di dunia
Hanyalah kepalsuan dan kerugian

Share/Bookmark

Antara Dua Gigitan

Ibrahim al Khawas telah meriwayatkan : Pada suatu ketika aku ke gunung Lukam. Ingin sekali aku mengambil sebiji buah delima. Kemudian kuambil satu dan kupecahkan. Namun apabila kumakan sedikit rasanya masam. Maka kutinggalkan sahaja delima itu. Kemudian aku melihat seorang lelaki jatuh tersungkur kemudian dikerumuni lalat yang menggigit. Lalu aku menegurnya, "Assalamualaikum,". Dia menjawab, "Walaikumussalam, wahai Ibrahim," Kutanya dia,"Bagaimana engkau mengenalku?" Dia menjawab, "Barangsiapa telah makrifat kepada Allah tidak ada suatu yang samar baginya." Lalu aku mengatakan, "Kulihat engkau istimewa di sisi Allah. Mengapa engkau tidak memohon agar selamat dari gigitan lalat itu?" Dia menjawab, "Akupun melihat engkau mempunyai keistimewaan di sisi Allah. Lalu mengapa engkau tidak memohon agar selamat dari syahwat keinginan terhadap delima? Sesungguhnya lazatnya delima dapat mengakibatkan seseorang menderita di Akhirat. Sedangkan gigitan lalat hanyalah terasa pedih di dunia sahaja. Gigitan lalat pada pada nafsu sedangkan gigitan syahwat itu pada hati...!" Kemudian aku pun berlalu dari situ.

Syahwat dapat membuatkan raja menjadi hamba. Sedangkan sabar akan membuatkan budak menjadi raja. Tidakkah engkau dengar kisah Nabi Yusuf as dengan Zulaikha. Nabi Yusuf menjadi raja Mesir sebab kesabarannya. Dan Zulaikha menjadi hina, fakir dan lemah kerana syahwatnya. Zulaikha tidak sanggup menahan cintanya kepada Yusuf.

Allah menciptakan makhluk ada tiga bahagian.

Dia menciptakan malaikat hanya diberikan aqal, tanpa diberi syahwat. Lalu Dia menjadikan haiwan yang dibekali syahwat tanpa diberi aqal dan Allah menjadikan manusia dengan diberikan aqal dan syahwat. Jika syahwat seseorang telah mengalahkan akalnya, maka haiwan lebih baik daripada dia. Namun barangsiapa menggunakan aqal dan menundukkan syahwatnya, tentulah dia lebih baik daripada malaikat.

Share/Bookmark

Nabi Daud as Dan Seekor Ulat Merah

Dikisahkan.

Pada suatu hari Nabi Daud duduk di tempat peribadatannya. Tiba-tiba dia melihat ulat merah. Maka dalam hati dia berkata : "Apakah kiranya kehendak Allah pada ulat ini?"

Maka dengan izin Allah, ulat itu dapat berbicara sambil berkata: "Wahai Nabi Allah! Di siang hari Tuhanku mengilhamkan agar aku membaca 'Subhanallah Wal Hamdulillah Wala-Ilaha Illa Allah Akbar' seribu kali. Sedangkan di malam hari Tuhan mengilhamkanku agar membaca 'Allahumma Solli ala Muhammadinin Nabiyyil Ummiyyi Wa'ala alihi Wa sohbihi Wa sallam' seribu kali. Lalu apakah yang engkau baca hingga aku ingin mengambil faedah daripadamu?"

Maka Nabi Daud as amat menyesal menghina pada ulat itu. Baginda merasa takut kepada Allah SWT, lalu bertaubat dan bertawakkal kepadaNya.

Share/Bookmark

Penawar Sabar Dan Sakit

Sabar mempunyai sekurang-kurang tiga macam.

Sabar dalam melaksanakan perintah taat.
Sabar meninggalkan larangan-laranganNya.
Dan sabar ketika mendapat bencana.

Dan setiap sabar itu ada darjat-darjatnya.

Sabar kerana taat, maka pada hari Kiamat Allah akan memberinya tiga ratus darjat di Syurga. Tiap-tiap darjat itu berjarak antara langit dan bumi.

Sabar meninggalkan larangan Allah, maka pada hari Kiamat Allah akan memberinya enam ratus darjat. Tiap darjat antara langit ke tujuh dan bumi ke tujuh.

Sabar atas bencana dan musibah, maka pada hari Kiamat Allah akan memberinya tujuh ratus darjat di Syurga. Tiap-tiap darjat antara Arasy dan Tsura.

Nabi SAW pernah bersabda : Allah telah berfirman :

"Barangsiapa ditimpa bencana, lalu dia mohon perlindungan daripadaKu, pasti Aku memberinya sebelum dia meminta. Dan barangsiapa ditimpa bencana, lalu dia meminta perlindungan kepada makhluk, pasti Ku tutup semua pintu langit baginya."

Rasulullah SAW juga bersabda: "Barangsiapa sakit semalam, dia sabar dan rela kepada Allah, maka bersih daripada dosa bagaikan ketika dia lahir dari perut ibunya. Jika engkau sakit, jangan segera meminta sembuh."

Junaid al Baghdadi ra telah berkata: "Bala merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lengah lupa. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar."

Daripada Muaz bin Jabal ra, beliau berkata : Ketika Allah menguji hamba yang mukmin dengan suatu bencana, Dia berkata kepada pencatat amal buruk, "Hapuskan catatan daripadanya." Dan berkata kepada pencatat amal baik, "Tuliskan untuk hambaKu yang lebih baik daripada apa yang dia perbuat."

Nabi SAW juga pernah bersabda :
"Ketika seorang hamba sakit, Allah mengutus dua malaikat kepadanya, seraya berkata, "Lihatlah kalian apa kata hambaKu." Jika dia berkata 'Alhamdulillah', maka diberitahukan kepada Allah, Dia lebih tahu, lalu berkata, "Aku berjanji untuk hambaKu. Jika aku mematikannya, Kumasukkan dia ke Syurga. Dan jika Aku menyembuhkannya, Kuganti dia daging yang lebih baik daripada dagingnya serta darah yang lebih baik daripada darahnya. Dan Aku hapuskan pula keburukannya."

Ibnu Aththok berkata :"Akan terbukti keteguhan dan kebohongan seorang hamba sewaktu berlakunya bencana mahupun kemakmuran. Barangsiapa bersyukur di saat makmur, tetapi mengeluh bila ditimpa bencana, jelas dia orang yang dusta. Meskipun orang mempunyai segudang ilmu, tetapi mengeluh jika terkena angin bencana, sungguh tidak berguna ilmu dan amalannya. Allah telah berfirman dalam Hadis Qudsi :

"Barangsiapa tidak rela dengan keputusanKu dan tidak syukur pula dengan pemberianKu, hendaklah dia cari Tuhan selain Aku!"

Nasihat dan jaminan siapakah lagi yang lebih engkau harap wahai diri yang sering alpa!!!

Share/Bookmark

Wednesday, May 16, 2012

Fitnah Dan Cubaan Untuk Kaum Yang Berpura-Pura

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam At Tirmidzi, bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Allah SWT berfirman (dalam hadis Qudsi): "Akan wujud beberapa kaum yang berpura-pura dalam kekhusyukan, mereka memakai kulit-kulit domba halus di hadapan manusia( berpura-pura), lidah-lidah mereka lebih manis daripada madu, hati-hati mereka lebih pahit daripada tanaman sejenis jadam( rasanya sangat pahit), maka atas namaKu, Aku bersumpah untuk menurunkan fitnah dan cubaan yang menjadikan orang yang lembut menjadi gundah. Apakah mereka hendak menipuKu ataukah mereka berani kepadaKu?"(At Tirmidzi, no 2404 dari Abu Hurairah dan no. 2405 dari Ibnu Umar. Lihat Al-Misykat, no 5323,2354 dan Targhib wat-Tarhib, no. 41)

Disedut dari buku Jagalah Allah...Allah Menjagamu...Dr Aidh Bin Abdullah Al Qarni. Penterjemah H. Sarwedi M. Hsb. Penyunting/Editor Noraine Abu. Diterbitkan oleh Al Hidayah.

Share/Bookmark

Kebaikan Yang Sia-Sia


Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah aripada Tsauban ra, dia berkata : Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya saya mengetahui orang-orang yang datang dengan kebaikan-kebaikan seperti gunung-gunung "Tihamah Bidh" pada hari kiamat, tetapi sia-sia belaka.

Para sahabat bertanya : "Wahai Rasullullah, apakah mereka itu dari kalangan kaum Muslimin?"

Rasulullah SAW bersabda: "Ya, mereka dari kalangan kaum Muslimin, mereka sembahyang sebagaimana kamu sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kamu berpuasa dan mereka juga rajin melaksanakan qiyamullail, akan tetapi apabila mereka dihadapkan dengan larangan-larangan Allah di kala mereka sendirian, mereka melanggarnya." (Ibnu majah, no 4245 dan dalam Musnad Asy-Syamiyyin terdapat pada no. 688. Lihat Mishbah Az Zujajah, no. 1525 dan Tahdzib Al Kamal, biografi. no 389)

Al- Andalusi pernah berwasiat kepada anaknya :

Jika kamu sedang sendiri dalam keraguan di tengah kegelapan
Dan jiwa mendorongmu untuk berbuat zalim
mualulah dari pandangan Allah dan katakanlah kepadanya:
"Sesungguhnya Yang menciptakan kegelapan itu melihatku."

Share/Bookmark

Wednesday, May 02, 2012

Mukmin Haq- Dicari Generasi

Dan lagi, nota untuk diriku.

Maksud firman Allah SWT.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, bertambahlah iman mereka kerananya dan kepada Robb mereka, mereka bertawakkal". (Anfal : 2)

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
"Setiap mata berzina dan bentuk zinanya adalah melihat (sesuatu yang haram), telinga berzina dan bentuk zinanya adalah mendengar (sesuatu yang dilarang oleh Allah), tangan juga berzina dan bentuk zinanya adalah memukul( orang lain tanpa haq), kaki juga berzina dan bentuk zinanya adalah berjalan ( menuju tempat yang diharamkan oleh Allah)". (HR Bukhari dan Muslim).

Imam Hasan al Bashri mengatakan :
"Keimanan itu bukanlah hanya sebuah hiasan dan bukan pula sebuah angan-angan, namun iman adalah sesuatu yang tertanam kukuh di dalam hati dan direalisasikan dalam bentuk aktiviti".

Terdapat suatu riwayat yang cukup menarik dalam menggambarkan peribadi yang telah sampai pada tahap keimanan yang sebenar. Seorang sahabat, al Harith bin Malik Al Ansari bertemu Rasulullah SAW kemudian baginda menyapanya :
"Bagaimana keadaanmu pagi ini, ya Harith. Al Harith menjawab : " Pagi ini akau dalam keadaan beriman sungguh-sungguh". Rasulullah bersabda lagi : "Perhatikanlah apa yang engkau katakan kerana sesungguhnya segala sesuatu itu ada hakikatnya, apa hakikat keimanannmu?". Jiwaku telah menjauhi dunia, sehingga aku memanfaatkan waktu malamku untuk qiyamullail, memanfaatkan waktu siangku untuk berpuasa dan seakan-akan aku melihat arasy Rabbku di depan mataku, seakan aku melihat ahli syurga saling berziarah di dalmnya dan ahli neraka menjerit-jerit kesakitan, jawab Harith. Kemudian Rasulullah SAW bersabda : "Ya Harith, engkau telah makrifah maka peganglah dengan teguh". (HR at Thabarani).

Maka selayaknyalah kalau keimanan seperti ini dapat menjadikan hati seseorang mempunyai ciri-ciri seperti berikut :

1. WAJAL(BERGETAR)
Rasulullah SAW pernah merasai perasaan wajal(bergetar) ketika membaca suatu ayat sehingga baginda menangis. Diriwayatkan dari Abdullah bin Amr bin Ash, bahawasanya Nabi SAW membaca firman Allah (5: 118) yang ertinya :
"Jika engkau (Allah) menyiksa mereka maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu dan jika Engkau mengampuni mereka maka sesungguhnya Engkau Maha Perkasa dan Maha Bijkasana". Setelah mendengar ayat tersebut, Rasulullah SAW mengangkat tangannya seraya berdoa dan menangis : "Ya Allah...ummatku.." Allah berfirman kepada Jibril : "Pergilah kepada Muhammad dan tanyakan apa yang menyebabkannya menangis?". Datanglah Jibril kepada Rasulullah SAW dan menanyakannya. Setelah selesai ia kembali menghadap Allah dan Allah berfirman : " Hai Jibril, pergilah engkau kepada Muhammad dan katakan : " Sesungguhnya Aku akan meredhai ummatmu dan tidak akan menyakitimu" (HR Ibnu Abi Hatim).

2. TAWAKKAL
Maksud firman Allah :
"Iaitu orang-orang (yang taat kepada Allah dan RasulNya) kepada mereka ada yang mengatakan : "Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka, maka perkataan itu telah menambahkan keimanan mereka dan mereka menjawab : "Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Penolong". (Al Imran :173).

Balasan Allah bagi orang yang mempunyai tawakkal yang tinggi sungguh luar biasa. Mereka akan masuk syurga tanpa hisab. Rasulullah SAW bersabda :
"Akan masuk syurga dari ummatku 70 ribu orang tanpa dihisab. Para sahabat bertanya : "Siapakah mereka itu, ya Rasulullah?" Rasul menjawab : "Mereka adalah orang-orang yang tidak menggunakan ruqyah(jampi), tidak bertathoyyur (bersikap pesimis kerana sesuatu, misalnya kerana suara burung hantu), tidak melakukan kay(berubat dengan besi yang dipanaskan) dan kepada Allah mereka bertawakkal". (HR Muslim).

Mufassir Ibnu Katsir menjelaskan tentang hakikat tawakkal:
"Mereka adalah orang-orang yang tidak mengharapkan, menuju, berlindung, memohon bantuan dan mencintai kecuali hanya kerana Allah semata-mata. Mereka tahu bahawa apa yang dikehendaki Allah akan terjadi dan apa yang tidak dikehendaki Allah tidak akan terjadi. Dialah yang mengatur kekuasaanNya, tidak ada sekutu bagiNya dan tidak ada yang dapat menolak ketetapanNya dan Dialah yang Maha cepat hisabNya".

Said bin Jubair mengatakan : "Tawakkal kepada Allah merupakan puncak keimanan".

3. MENEGAKKAN SOLAT
Solat merupakan sarana kebahagiaan yang sangat tinggi dan dapat melupakannya dari segala macam persoalan keduniaan yang terkadang menghimpit kehidupannya sehingga Rasulullah SAW pun pernah bersabda : "Dan jadikan solat itu sebagai penyejuk mataku".

Bahkan seorang tabi'in bernama Urwah bin Zubair tatkala kainya mesti dipotong, dia meminta kakinya itu dipotong semasa dia sedang sujud dalam solat agar  tidak merasai sakitnya. Solat yang ditegakkan akan membentuk jiwa yang bersih sehingga aktivitinya selalu positif, tidak pernah berkeluh kesah dan tidak pernah merugikan orang lain. Firman Allah yang bermaksud :
"Sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat keluh kesah dan apabila ditimpa dengan kebaikan maka dia amat kikir, kecuali orang-orang yang mengeerjakan solat". (70 : 19-22)

4. SENTIASA BERINFAQ
Uqbah bin Harith meriwayatkan, maksudnya :
"Rasulullah SAW solat asar berjamaah bersam akami, baginda bersegera dalam solatnya kemudian masuk ke dalam rumahnya. Tidak lama kemudian baginda keluar, aku bertanya kepada baginda mengapa ia berbuat demikian. Rasulullah SAW menjawab : Aku telah meninggalkan gandum di rumah sebagai sedekah, aku tidak ingin benda itu berada di rumahku sampai malam berlalu, maka aku membahagi-bahagikannya". (HR Bukhari)

Menjelang kedatangan ajal baginda, Sahl bin Said berkata: 
"Rasulullah SAW mempunyai tujuh dinar yang baginda kirimkan kepadaAisyah. Ketika baginda sakit, baginda bersabda: " Ya Aisyah, pergilah kamu kepada Ali dengan wang emas itu". Rasulullah SAW kemudian pengsan dan Aisyah sibuk memikirkan keadaan suaminya itu, sehingga Rasulullah SAW mengulangi perkataan perkataan itu berkali-kali. Akhirnya wang itu dikirimkan kepada Ali ra dan disedekahkan. Pada malam harinya (malam Isnin) Rasulullah SAW wafat". (HR at Tobrani, sahih)

Janji Allah untuk mukmin sebenar adalah sangat mahal dan tinggi, iaitu berupa darjat yang agung dan rezeki yang mulia, yang tidak diperolehi kecualui dengan perjuangan dan keseriuasan di dalam menundukkan hawa nafsu dan syaitan.

Allahua'lam.

Share/Bookmark