Mengingat-ingat masa lalu dan bersedih hati kerananya adalah satu tindakan bodoh dan gila. Lebih dari itu, ia boleh mematikan kehendak dan membinasakan masa depan.
Bagi orang-orang yang waras, fail masa lalu itu sepatutnya dilipat dan disimpan, bukan dibuka dan dipersoaikan. Ia perlu ditutup buat selama-lamanya dan dikurung di dalam penjara kelupaan, diikat dengan gari di dalam kurungan yang kuat hingga ia tidak dapat keluar. Ianya perlu diperap sedemikian rupa supaya ia tidak terkena cahaya, sebab ia adalah sesuatu yang sudah berlalu dan sudah selesai. Maka ia tidak mungkin kembali dengan apa jua kesedihan, tidak dapat diubah dan diperbaiki dengan apa jua kedukaan, tidak dapat dihadirkan semula dengan apa jua kegelisahan dan tidak akan dapat dihidupkan semula dengan apa jua kebingungan-ia adalah sesuatu yang sudah tiada.
Jangan biarkan hidupmu dihantui masa lalu, jangan biarkan dirimu sentiasa dibayang-bayangi oleh sesuatu yang sudah berlalu. Adakah anda mahu mengembalikan sungai kepada sumber mata airnya, memulangkan matahari kepada tempat terbitnya, mengembalikan kanak-kanak ke dalam rahim ibunya, air susu kepada puting susu haiwan dan airmata kepada mata? Sesungguhnya meratapi masa lalu dan menangisinya akan membuatmu terbakar dengan apinya. Kembali ke pangkuan masa lalu sama sahaja dengan meletakkan anda dalam kemelut dan tragedi yang sangat dahsyat dan menakutkan.
Hidup sambil mengungkit-ungkit masa lalu bermakna mensia-siakan masa sekarang, mengoyak-ngoyak perjuangan dan memporak-perandakan masa kini. Allah SWT. sudah menceritakan tentang umat-umat yang lampau dan apa yang sudah mereka lakukan. "Yang demikian itu adalah satu umat yang sudah berlalu." Segala sesuatunya sudah selesai bagi mereka. Tidak ada gunanya lagi menghurai dan memanjangkan cerita perjalanan masa kerana ia sama sahaja dengan memutar semula perjalanan sejarah.
Sesungguhnya orang yang kembali kepada masa lalu sama dengan orang yang menggiling tepung atau orang yang menggergaji dedak kayu tetapi dirinya sendiri turut tergilas sama. Terdapat ungkapan lama terhadap mereka yang suka meratapi masa lalu: "Hei, jangan keluarkan mayat-mayat itu dari kubur mereka!" Disebutkan bahawa mereka yang boleh bercakap dengan bahasa haiwan, mereka bertanya kepada keldai: " Mengapa engkau tidak menarik kereta lagi?" Si keldai menjawab : "Aku tidak suka menipu."
Malangnya kita tidak mahu dan berusaha menangani masa kini, sebaliknya kita sibuk memikirkan masa lalu kita. Kita mensia-siakan istana-istana kita yang megah, sebaliknya kita pula sibuk menguruskan runtuhan bangunan lama. Sekiranya manusia dan jin bekerjasama dan bertungkus lumus untuk mengembalikan masa lalu itu, nescaya mereka tidak akan berjaya, sebab pada dasarnya ia adalah mustahil.
Sesungguhnya manusia tidak perlu menoleh atau berpaling ke belakang, sebab hembusan angin sentiasa menghala ke depan, air mengalir pun menuju ke depan, kafilah berjalan pun ke arah depan. Jesteru, janganlah cuba menentang arus dan aturan hidup, sunnah alam.
Razak Nordin berpesan ; La Tahzan Jilid 1. Halaman 12-14.
◦
No comments:
Post a Comment