Untaian Langkah

Wednesday, October 27, 2010

La Tahzan 2- Bertafakur Dan Bersyukurlah

Tujuannya ialah supaya anda mengingat segala nikmat dan kurnia yang dianugerahkan oleh Allah kepada anda-nikmat yang meliputi anda dari atas dan dari bawah tapak kaki anda.

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat mengiranya."

Kesihatan tubuh badan, keamanan dalam negara, makanan, pakaian, udara dan air bersih. Anda sudah mempunyai dunia sedang anda tidak menyedarinya; anda mempunyai hidup sedang anda tidak mengetahuinya.

"Dan Dia sudah menyempurnakan nikmat-nikmatNya bagi kamu, meliputi yang zahir dan yang batin."

Ingatlah bahawa anda mempunyai sepasang mata, satu lidah, sepasang bibir, dua tangan dan dua kaki.

"Nikmat Allah yang mana lagi yang hendak kamu dustakan?"

Adakah satu perkara yang tidak mustahak bagi anda mampu berjalan menggunakan dua kaki? Bagaimana jika kedua-keduanua kudung?

Adakah satu hal yang kecil bagi anda yang masih boleh tidur lelap, sedangkan ramai orang yang tidak dapat melelapkan mata kerana menahan sakit dari penyakit yang menimpanya?

Adakah anda tidak merasa apa-apa ketika memakan makanan yang lazat sekenyangnya dan meminum minuman yang sedap sepuasnya, padahal ketika itu masih terdapat ramai orang yang tidak boleh makan dan minum kerana suatu penyakit?

Renunglah semula tentang anugerah pendengaranmu yang dijauhkan dari tuli; tentang anugerah penglihatanmu yang dijauhkan dari buta; tentang anugerah kulitmu yang terhindar dari penyakit sopak dan yang seumpamanya. Dan jangan pula lupa merenung dan memikirkan anugerah akal fikiranmu. bagaimana sekiranya anda ditakdirkan gila atau tidak siuman?

Adakah anda mahu menukar anugerah penglihatan yang anda punyai dengan emas sebesar gunung Uhud? Adakah anda rela menjual anugerah pendengaran yang anda punyai dengan perak seberat bukit? Adakah anda bersedia menukar lisan anda dengan istana-istana yang megah, tetapi selepas itu anda menjadi orang bisu? Adakah anda rela menukar kedua-dua tangan anda dengan rantai-rantai intan dan permata, tetapi selepas itu anda menjadi orang yangkudung tangan?

Sesungguhnya anda sedang diliputi nikmat yang banyak dan sangat bernilai, tetapi anda tidak menyedarinya. Mengapa anda masih bersedih hati dan bermuram durja, sedangkan pada waktu yang sama anda mempunyai makanan yang sedap, air bersih untuk diminum, boleh tidur lena dan sihat tubuh badan? Anda terus menangisi apa yang luput dari anda, bukan mensyukuri apa yang sudah anda punyai. Anda susah hati kerana mengalami kerugian harta benda, sedang pada waktu yang sama di tangan anda ada anak kunci kebahagiaan, gedung kebaikan, anugerah, nikmat dan lain-lain. Berfikirlah dan bersyukurlah.

"Terhadap diri kamu sendiri, mengapa kamu tidak perhatikan?"

Fikirkan tentang dirimu, keluargamu, rumahmu, pekerjaanmu, kesihatanmu, kawan-kawanmu dan dunia sekelilingmu.

"Mereka mengetahui nikmat Allah itu, kemudian mereka mengingkarinya."

Razak Nordin berpesan ; La Tahzan Jilid 1, halaman 10-12.

Share/Bookmark

No comments: