Untaian Langkah

Friday, October 29, 2010

La Tahzan 4-Inilah Hari Kepunyaan Anda







Apabila anda berpagi-pagi maka janganlah menunggu hari petang. Hari inilah yang akan anda tempuhi, bukan hari kelmarin yang sudah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukannya dan juga bukan hari esok yang belum tentu datang. Hari yang ketika ini mataharinya menyinari anda dan siangnya menyapa anda inilah hari anda.

Bukan mustahil hidup anda tinggal sehari sahaja lagi-hari ini. Maka anggaplah masa hidup anda hanya hari ini sahaja atau seolah-olah anda dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga. Dengan begitu, hidup anda tidak akan koyak rabak di antara gumpalan keresahan, kesedihan dan suka duka serta pedih luka parut masa masa lalu dengan bayangan masa depan yang penuh keraguan dan sering menakutkan.

Jesteru itu, sudah sepatutnya anda mencurahkan seluruh perhatian, kepedulian dan kerja kuat anda pada waktu ini untuk hari ini. Dan pada hari inilah, anda perlu berazam mempersembahkan kualiti sembahyang yang paling khusyuk, bacaan Al Quran yang paling tartil dan penuh renungan, berzikir dengan sepenuh hati, keseimbangan dalam segala hal, keindahan dalam akhlak, kerelaan dan keredhaan dengan semua yang Allah berikan, perhatian terhadap keadaan sekeliling, mengambil berat terhadap kesihatan jiwa dan raga serta berbuat baik terhadap sesama manusia.

Jadi sudah sepatutnya anda pada hari ini lebih bijak dan pandai membahagi-bahagi waktu anda dengan bijaksana. Jadikanlah setiap minitnya bagai ribuan tahun dan setiap saatnya bagai ratusan bulan; tanamlah kebaikan sebanyak-banyaknya pada hari ini dan persembahkanlah sesuatu yang paling indah untuknya. Beristighfarlah atas semua dosa, ingatlah sentiasa kepadaNya, bersiap-siaplah untuk satu perjalanan jauh menuju akhirat dan nikmatilah hari ini dengan segala keriangan dan kebahagiaan. Terimalah rezeki, isteri, suami, anak-anak, tugas-tugas, rumah, ilmu dan jawatan hari ini dengan penuh keredhaan.

"Terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur."(Surah A'raf : 144)

Marilah kita hidup hari ini tanpa kesedihan, tanpa keresahan, tanpa kemarahan, tanpa kedengkian dan tanpa kebencian!

Pada waktu yang sama, anda jangan lupa untuk menggoreskan pada dinding hati anda suatu kalimat: "Inilah hari saya." Maka, jika hari ini anda dapat memakan nasi panas yang sedap aromanya maka adakah nasi basi yang tidak anda habiskan kelmarin atau nasi panas esok hari yang belum tentu dapat anda nikmati itu akan merugikan anda?

Seandainya anda masih dapat minum air bersih dan segar hari ini maka mengapa anda perlu bersedih hati atas air masin yang anda minum kelmarin atau mengkhuatirkan air hambar dan panas esok hari yang belum tentu sampai?

Jika anda percaya pada diri anda, dengan semangat dan azam yang kuat, anda akan dapat menundukkan diri anda untuk berpegang pada prinsip : "Aku hanya akan hidup hari ini." Prinsip inilah yang akan menyibukkan diri anda setiap saat supaya sentiasa memperbaiki keadaan, mengembangkan semua potensi dan mengikhlaskan setiap amalan.

Sikap demikian akan membuat anda berkata dalam hati:
Inilah harinya aku masih berpeluang untuk mengatakan yang baik-baik sahaja, menghidari bercakap kotor, lucah dan menjijikkan, tidak akan mencela, mengherdik dan juga memperkatakan keburukan orang lain. Hanya hari ini aku berpeluang mengemas rumah dan pejabat supaya tidak kacau bilau dan berantakan, supaya rapi dan teratur. Dan kerana hari ini sahaja aku akan hidup maka aku akan memerhatikan kebersihan tubuhku, kekemasan penampilanku, keharusan tutur kata dan perilakuku.

"Kerana jika aku hanya diizinkan hidup hari ini maka aku akan berusaha sekuat tenaga untuk taat kepada Allah, mengerjakan sembahyang sesempurna mungkin, membekali diri dengan sembahyang-sembahyang sunat, berpegang teguh pada ajaran AL-Quran, mengkaji dan mencatat segala yang mendatangkan manfaat buatku.

"Aku hanya mempunyai hidup yang pasti hari ini, sebab itu aku akan menanamkan dalam hatiku semua nilai keutamaan dan mencabut darinya pohon-pohon kejahatan serta ranting-rantingnya yang berduri, tidak kira sifat takbur, ujub, riya', buruk sangka dan lain-lain.

"Hanya hari ini aku akan dapat menghirup udara kehidupan maka aku akan berbuat baik kepada orang lain dan menghulurkan tangan kepada siapa pun. Aku akan menziarahi mereka yang sakit, menghantar jenazah, menunjukkan jalan yang benar bagi yang tersesat, memberi makan orang kelaparan, menolong orang yang sedang kesusahan, membantu orang yang dizalimi, meringankan penderitaan orang yang lemah, mengasihi mereka yang menderita, menghormati orang alim, menyanyangi kanak-kanak dan berbakti kepada ibu bapa. 

"Aku hanya akan hidup hari ini maka aku akan mengucapkan :

"Wahai masa lalu yang sudah berlalu dan selesai, tenggelamlah seperti mataharimu. Aku tidak akan menangisi kepergiaanmu dan kamu tidak akan melihatku termenung sebentar pun untuk mengingatimu. Kamu sudah meninggalkan kami semua, pergilah dan jangan kembali lagi."

"Wahai masa depan, engkau masih dalam keghaiban. Maka aku tidak akan bermain dengan khayalan dan memperjudikan nasib hanya kerana satu agakan. Aku juga tidak bakal memburu sesuatu yang belum tentu ada, sebab esok hari mungkin tidak ada sesuatu; esok hari adalah sesuatu yang belum diciptakan dan tidak ada satu pun darinya yang dapat disebutkan."

"Hari ini kepunyaan saya" merupakan ungkapan yang paling indah dalam "kamus kebahagiaan", kamus bagi mereka yang ingin menikmati hidup yang paling indah dan menyeronokkan.

Razak Nordin berpesan ; La Tahzan Jilid 1. Halaman 15-17.  

Share/Bookmark

Thursday, October 28, 2010

La Tahzan 3-Apa Yang Sudah Pergi, Biarlah Ia Pergi






Mengingat-ingat masa lalu dan bersedih hati kerananya adalah satu tindakan bodoh dan gila. Lebih dari itu, ia boleh mematikan kehendak dan membinasakan masa depan.

Bagi orang-orang yang waras, fail masa lalu itu sepatutnya dilipat dan disimpan, bukan dibuka dan dipersoaikan. Ia perlu ditutup buat selama-lamanya dan dikurung di dalam penjara kelupaan, diikat dengan gari di dalam kurungan yang kuat hingga ia tidak dapat keluar. Ianya perlu diperap sedemikian rupa supaya ia tidak terkena cahaya, sebab ia adalah sesuatu yang sudah berlalu dan sudah selesai. Maka ia tidak mungkin kembali dengan apa jua kesedihan, tidak dapat diubah dan diperbaiki dengan apa jua kedukaan, tidak dapat dihadirkan semula dengan apa jua kegelisahan dan tidak akan dapat dihidupkan semula dengan apa jua kebingungan-ia adalah sesuatu yang sudah tiada.

Jangan biarkan hidupmu dihantui masa lalu, jangan biarkan dirimu sentiasa dibayang-bayangi oleh sesuatu yang sudah berlalu. Adakah anda mahu mengembalikan sungai kepada sumber mata airnya, memulangkan matahari kepada tempat terbitnya, mengembalikan kanak-kanak ke dalam rahim ibunya, air susu kepada puting susu haiwan dan airmata kepada mata? Sesungguhnya meratapi masa lalu dan menangisinya akan membuatmu terbakar dengan apinya. Kembali ke pangkuan masa lalu sama sahaja dengan meletakkan anda dalam kemelut dan tragedi yang sangat dahsyat dan menakutkan.

Hidup sambil mengungkit-ungkit masa lalu bermakna mensia-siakan masa sekarang, mengoyak-ngoyak perjuangan dan memporak-perandakan masa kini. Allah SWT. sudah menceritakan tentang umat-umat yang lampau dan apa yang sudah mereka lakukan. "Yang demikian itu adalah satu umat yang sudah berlalu." Segala sesuatunya sudah selesai bagi mereka. Tidak ada gunanya lagi menghurai dan memanjangkan cerita perjalanan masa kerana ia sama sahaja dengan memutar semula perjalanan sejarah.

Sesungguhnya orang yang kembali kepada masa lalu sama dengan orang yang menggiling tepung atau orang yang menggergaji dedak kayu tetapi dirinya sendiri turut tergilas sama. Terdapat ungkapan lama terhadap mereka yang suka meratapi masa lalu: "Hei, jangan keluarkan mayat-mayat itu dari kubur mereka!" Disebutkan bahawa mereka yang boleh bercakap dengan bahasa haiwan, mereka bertanya kepada keldai: " Mengapa engkau tidak menarik kereta lagi?" Si keldai menjawab : "Aku tidak suka menipu."

Malangnya kita tidak mahu dan berusaha menangani masa kini, sebaliknya kita sibuk memikirkan masa lalu kita. Kita mensia-siakan istana-istana kita yang megah, sebaliknya kita pula sibuk menguruskan runtuhan bangunan lama.  Sekiranya manusia dan jin bekerjasama dan bertungkus lumus untuk mengembalikan masa lalu itu, nescaya mereka tidak akan berjaya, sebab pada dasarnya ia adalah mustahil.

Sesungguhnya manusia tidak perlu menoleh atau berpaling ke belakang, sebab hembusan angin sentiasa menghala ke depan, air mengalir pun menuju ke depan, kafilah berjalan pun ke arah depan. Jesteru, janganlah cuba menentang arus dan aturan hidup, sunnah alam.

Razak Nordin berpesan ; La Tahzan Jilid 1. Halaman 12-14.

Share/Bookmark

Wednesday, October 27, 2010

La Tahzan 2- Bertafakur Dan Bersyukurlah

Tujuannya ialah supaya anda mengingat segala nikmat dan kurnia yang dianugerahkan oleh Allah kepada anda-nikmat yang meliputi anda dari atas dan dari bawah tapak kaki anda.

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat mengiranya."

Kesihatan tubuh badan, keamanan dalam negara, makanan, pakaian, udara dan air bersih. Anda sudah mempunyai dunia sedang anda tidak menyedarinya; anda mempunyai hidup sedang anda tidak mengetahuinya.

"Dan Dia sudah menyempurnakan nikmat-nikmatNya bagi kamu, meliputi yang zahir dan yang batin."

Ingatlah bahawa anda mempunyai sepasang mata, satu lidah, sepasang bibir, dua tangan dan dua kaki.

"Nikmat Allah yang mana lagi yang hendak kamu dustakan?"

Adakah satu perkara yang tidak mustahak bagi anda mampu berjalan menggunakan dua kaki? Bagaimana jika kedua-keduanua kudung?

Adakah satu hal yang kecil bagi anda yang masih boleh tidur lelap, sedangkan ramai orang yang tidak dapat melelapkan mata kerana menahan sakit dari penyakit yang menimpanya?

Adakah anda tidak merasa apa-apa ketika memakan makanan yang lazat sekenyangnya dan meminum minuman yang sedap sepuasnya, padahal ketika itu masih terdapat ramai orang yang tidak boleh makan dan minum kerana suatu penyakit?

Renunglah semula tentang anugerah pendengaranmu yang dijauhkan dari tuli; tentang anugerah penglihatanmu yang dijauhkan dari buta; tentang anugerah kulitmu yang terhindar dari penyakit sopak dan yang seumpamanya. Dan jangan pula lupa merenung dan memikirkan anugerah akal fikiranmu. bagaimana sekiranya anda ditakdirkan gila atau tidak siuman?

Adakah anda mahu menukar anugerah penglihatan yang anda punyai dengan emas sebesar gunung Uhud? Adakah anda rela menjual anugerah pendengaran yang anda punyai dengan perak seberat bukit? Adakah anda bersedia menukar lisan anda dengan istana-istana yang megah, tetapi selepas itu anda menjadi orang bisu? Adakah anda rela menukar kedua-dua tangan anda dengan rantai-rantai intan dan permata, tetapi selepas itu anda menjadi orang yangkudung tangan?

Sesungguhnya anda sedang diliputi nikmat yang banyak dan sangat bernilai, tetapi anda tidak menyedarinya. Mengapa anda masih bersedih hati dan bermuram durja, sedangkan pada waktu yang sama anda mempunyai makanan yang sedap, air bersih untuk diminum, boleh tidur lena dan sihat tubuh badan? Anda terus menangisi apa yang luput dari anda, bukan mensyukuri apa yang sudah anda punyai. Anda susah hati kerana mengalami kerugian harta benda, sedang pada waktu yang sama di tangan anda ada anak kunci kebahagiaan, gedung kebaikan, anugerah, nikmat dan lain-lain. Berfikirlah dan bersyukurlah.

"Terhadap diri kamu sendiri, mengapa kamu tidak perhatikan?"

Fikirkan tentang dirimu, keluargamu, rumahmu, pekerjaanmu, kesihatanmu, kawan-kawanmu dan dunia sekelilingmu.

"Mereka mengetahui nikmat Allah itu, kemudian mereka mengingkarinya."

Razak Nordin berpesan ; La Tahzan Jilid 1, halaman 10-12.

Share/Bookmark

Friday, October 22, 2010

La Tahzan 1 -Ya Allah







"Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadanya. Tiap-tiap masa ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhluknya)!" (Surah Ar Rahman : 29)

Apabila laut bergelombang, ombak menghempas dan angin bertiup kencang, si nelayan akan berseru : Ya Allah ya Tuhanku.

Apabila penunggang unta tersesat di tengah padang pasir sahara, haluan berubah arah dan kafilah kebingungan dalam perjalanan, ia pun berseru : Ya Allah ya Tuhanku.

Apabila musibah menimpa, ujian melanda dan cubaan datang silih berganti maka orang yang ditimpa musibah itu akan berseru sekuat hati : Ya Allah ya Tuhanku.

Apabila segala pintu ditutup di hadapan para pengemis dan langsir dilabuhkan, mereka akan berseru : Ya Allah ya Tuhanku.

Apabila ikhtiar sudah sempurna, jalan tetap buntu, cita-cita terhenti dan segala hubungan terputus, mereka akan berseru : Ya Allah ya Tuhanku.

Apabila dunia yang luas ini terasa sempit buat anda, sedangkan dirimu berasa seolah-olah dihimpit oleh segala yang ditanggungnya, berserulah : Ya Allah ya Tuhanku.

"Sesungguhnya aku mengungat-Mu pada malam yang hitam pekat, ketika hamparan masa kotor berdebu. Aku berteriak kuat ketika fajar menyingsing sambil tersenyum lebar."

Kepada Allah jualah ditujukan ucapan-ucapan yang bagus, doa-doa yang ikhlas, teriakan-teriakan yang benar, deraian airmata dan segala keluh-kesah kesedihan.

Kepada-Nya setiap tapak tangan menadah di hujung malam, memohon bantuan, begitu juga setiap mata yang merenung serta segala permintaan makhluk baharu.

Dengan namaNya setiap lidah menyebut, meminta tolong, bermohon dan memanggil. Dengan mengingatNya hati akan tenteram dan roh akan damai serta jiwa menjadi tenang. Urat-urat saraf menjadi lentur, kecerdikan meningkat dan keyakinan menjadi mantap.
"Sesungguhnya Allah Maha Lemah-lembut kepada hambaNya."

Allah :
Nama yang paling sempurna, susunan huruf yang paling indah, ungkapan yang paling benar dan kalimat yang paling bernilai. " Adakah engkau mengetahui sesiapa pun yang senama dan sebanding denganNya?."(Maryam: 65)


Allah:
Terbukti Dialah yang empunya kekayaan dan keabadian, kekuatan dan bantuan, kemuliaan, kekuasaan dan kebijaksanaan. (Ketika itu Allah berfirman): "Siapakah Yang Menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab): "Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang mengatasi kekuasaannya segala-galanya!(Ghafir :16)


Allah:
Empunya kelembutan dan bantuan, pemberian, kasih sayang dan ihsan. "Apa jua nikmat yang ada pada kamu adalah datang daripada Allah."(an-Nahl: 53)


Allah :
Empunya kemegahan dan kemuliaan, kehebatan dan kegagahan.


Razak Nordin berpesan ; Jangan Bersedih Jilid 1 halaman 8. 

Share/Bookmark

Monday, October 18, 2010

Belajar Satu 'Vocab' Ekonomi Islam ; Al-Ji'alah







Salah satu 'vocab' ekonomi Islam yang ingin dikongsikan pada kali ini ialah al-Ji'alah.

Amalan ini mungkin biasa berlaku dari segi amalan seharian masyarakat kita. Namun kita tidak tahu pun istilahnya dalam bahasa ekonomi Islam.

Takrif al-Ji'alah iaitu minta kembalikan barang yang hilang dengan bayaran yang ditentukan, seperti seorang kehilangan lembu berkata, "Sesiapa yang boleh mendapat lembuku dan dikembalikan kepadaku, maka aku bayarkan sekian ringgit."

Andai kata yang kehilangan barang berkata kepada umum, "Sesiapa yang mendapatkan barangku akan aku berikan wang sekian."

Kemudian dua orang bekerja bersama mencari barang tersebut sampai kedua-duanya berjaya mendapatkan barang tersebut, maka bayaran tersebut akan dibahagikan sama rata antara dua orang tersebut.

Razak Nordin berpesan ; Sehari selembar benang.

Share/Bookmark

Wednesday, October 13, 2010

Tiga Kesalahan Yang Masih Berterusan Setiap Hari







Izinkan saya berkongsi sedikit maklumat dari buku La Tahzan Jilid 1 karangan Dr 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni di bawah tajuk kecil:-

Tiga Kesalahan Yang Masih Berterusan Setiap Hari.

Paling tidak.

Untuk muhasabah setiap diri insan. Yang sentiasa mencari pembaikan diri. Membuang dosa, menyuci diri. Semoga sentiasa diredhai Ilahi.

Tiga yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut ;

1. Mensia-siakan waktu.

2. Memperkatakan hal-hal yang tidak mendatangkan manfaat. "Di antara kualiti keislaman seseorang adalah meninggalkan hal yang tidak mendatangkan manfaat untuk dirinya."(Hadis Nabi)

3. Memberi perhatian yang terlalu besar terhadap masalah-masalah remeh. Sebagai contoh, suka mendengar khabar angin, ramalan-ramalan dan gosip-gosip. Kesenangan seperti ini hanya akan membuat orang menjadi paranoid, menimbulkan kecemasan di dalam hati dan melenyapkan kedamaian dari sanubari.

Baginda Rasul mengajarkan kepada bapa saudaranya Abbas satu doa yang menghimpunkan antara kebahagiaan dunia dan akhirat: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ampunan dan kesihatan."

Doa ini mencakupi dan meliputi semua hal. Di dalamnya ada kebaikan dunia dan akhirat.

"Kerana itu Allah memberi kepada mereka pahala di dunia dan pahala yang baik di akhirat."(Surah Ali Imran :148)

"Ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka."(Surah Taha : 123)

Razak Nordin berpesan ; Dalam sebuah hadis sohih ada disebutkan : "Seorang mukmin itu tidak ubah seperti seekor lebah, yang makan dari makanan yang baik, menghasilkan yang baik dan jika hinggap di atas satu dahan maka dia tidak merosaknya." 

Share/Bookmark