Untaian Langkah

Thursday, April 26, 2012

Penemuan Fadilat Menyebut Allah Dan Membaca Al Quran Dari Sudut Perubatan


Allah telah menjelaskan bahawa kitab suciNya Al Quran mempunyai banyak manfaat bagi umat manusia. Selain daripada ia memberi petunjuk dan membezakan di antara yang hak dengan yang batil, Al Quran juga adalah ubat(penawar) bagi pelbagai jenis penyakit. Salah satu ayat yang mengisytiharkan kenyataan ini ialah firman Allah yang bermaksud :

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman."(Yunus : 57)

Sehubungan dengan penjelasan Allah tersebut, banyak pihak telah menjalankan kajian dan penyelidikan terhadap kebenarannya. Sesuatu hal yang membanggakan ialah usaha seumpamanya bukan sahaja diterokai oleh para sarjana dan ilmuan Islam, malahan mereka yang bukan Islam pun turut menyelami Al Quran untuk melihat sejauh mana kerelevenannya terhadap sains dan perubatan. Seperti mana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar Qatar, "Arraya Daily" terbitan 24 Mac 2002, seorang ahli psikologi bukan Islam telah menemukan kesan serta fadilat menyebut secara berulang-ulang kata "ALLAH" dalam menyembuhkan penyakit jiwa.

Vander Hovan, seorang ahli psikologi dari Belanda, mengumumkan penemuan barunya ini setelah didapati bahawa memang ada kesan yang positih daripada amalan membaca Al Quran dan menyebut "ALLAH" secara berulang-ulang terhadap orang yang sakit dan orang yang sihat. Profesor berbangsa BElanda itu mengesahkan penemuannya itu berikutan dengan kajian dan penyelidikan yang dilakukannya ke atas para pesakit selama tiga tahun. Pesakit-pesakitnya terdiri daripada orang yang bukan Islam dan sesetengahnya pula tidak berbahasa Arab tetapi mereka dilatih untuk menyebut kata "ALLAH" dengan betul dan jelas. Hasilnya sangatlah memberangsangkan, khususnya ke atas mereka yang selalu muram atau bersedih dan menderita tekanan perasaan.

Sementara itu, sebuah akhbar harian Saudi, Al Watan menyiarkan berita tentang kenyataan ahli psikologi berkenaan yang mendakwa bahawa orang-orang muslim yang boleh membaca tulisan Arab dan selalu membaca al Quran akan terhindar daripada terkena sakit jiwa. Setiap huruf dalam kata "ALLAH" misalnya memberi kesan kepada penyembuhan penyakit yang berkaitan dengan jiwa. Beliau menunjukkan dalam penyelidikannya bagaimana dengan menyebut huruf pertama dalam "ALLAH" iaitu huruf (A)(    ) keluar daripada organ-organ sistem pernafasan mengawal pernafasan. Manakala menyebut konsonan (L) (     ) ala sebutan Arab, dengan lidah menyentuh sedikit pada bahagian atasrahang menghasilkan jeda(pause) yang sebentar dan kemudian mengulang-ulang jeda yang sama terus-menerus dapat mengurangkan tekanan hembusan nafas yang keras. Sementara menyebut huruf yang terakhir (H) (     ) akan menimbulkan hubungan di antara paru-paru dengan jantung, dan dengan hal yang demikian degupan jantung terkawal.

Apa yang menarik dalam penemuan yang bermakna itu ialah ahli psikologi terbabit bukanlah seorang Islam tetapi begitu berminat terhadap sains Islam dan menyelami rahsia-rahsia yang terkandung di dalam kitab suci Al Quran yang Maha Agung itu. Sesungguhnya ini adalah di antara tanda-tanda sifat Pemurah dan Kebesaran Allah yang yang diperlihatkanNya kepada manusia bahawa AL Quran itu adalah benar dan memberi rahmat kepada sesiapa sahaja yang tahu serta mahu memanfaatkannya.

Kenyataan tersebut juga secara langsung membuktikan yang Al Quran itu diturunkan Allah untuk manfaat umat sejagat. Jelasnya, sesiapa yang mahu mempelajari dan memanfaatkannya bagi mencapai duniawi dan ukharawi, pasti ia akan menemui keistimewaan dan fadilat Kitabullah pedoman umat ummah itu. Jesteru itu, sebagai umat Islam, kita harus bersyukur dengan nikmat Al Quran itu dengan tidak melepaskan peluang untuk menghayati serta menimba pelbagai pengajaran dan ilmu yang dihidangkan oleh Kalam Allah itu ke arah memperolehi keredhaanNya menuju kesempurnaan hidup di dunia dan memperolehi ganjaran syurga Allah di akhirat kelak. 

Dipetik dari Suara ISLAM , JHEAINS, Sabah. Keluaran Jumaat : 04 Rabiulawal 1423H/17 Mei 2002M.

Share/Bookmark

No comments: