Semenjak aku lahir, seperti juga kalian semua, mana mungkin aku catatkan diari hidup ini kerana masa itu aku belum mengerti apa-apa tentang hidup ini. Tentang kesabaran, penderitaan, kepayahan, keperitan, suka duka serta pahit maung kami sekeluarga melalui hari-hari yang mendatang.
Walaubagaimana, masa selang yang ada, ibu selalu bercerita tentang kepayahan, kesusahan hidup sekeluarga. Selalunya aku yang selalu menitiskan airmata mendengar cerita ibu. Hingga kini pun, aku percaya, kami adik beradik masih menyimpan kemas di sudut hati kami, detik-detik sukar yang pernah kami lalui bersama. Sekarang umurku sudah meningkat ke angka ke 37,tetapi secara jujur aku katakan, sampai bila-bila pun aku tidak akan dapat melupakan liku2 kehidupan yang kami lalui dahulu.(Nanti aku ceritakan catatan seterusnya nanti-akan ku cuba garapnya sebaik mungkin, berkongsi cerita hidup ini).
Kata ibu, sejak dari kecil lagi aku selalu dibawa ke"padang"(tempat orang bercucuk tanam). Kata ibu masa tu, Cik dan ibu(termasuk kami adik beradik) menanam jagung untuk meneruskan kelangsungan hidup. Pendek kata apa sahaja kerja yang menghasilkan "pitis" dilakukan oleh keluarga kami.
Walaupun ibu bertubuh kecil, tetapi jiwa dan semangatnya tidak sekecil fizikalnya. Bila aku meningkat dewasa, baru aku dapat menyelami "kepenatan" ibu melalui hari-hari dalam hidupnya bersama kami. Seingat aku, ibu tidak pernah mengeluh lantaran kepayahan hidup yang terpaksa dilalui. Bahkan ibu sanggup mengambilalih tempat kami untuk "dimarahi" oleh Cik. Cik memang garang masa tu. Kami adik-beradik memang cukup memahami perangai Cik.Tapi Cik tak pernah pukul kami.Garang mulut je.Antara keistimewaan Cik pada pandangan aku.
Berbalik pada cerita Ibu, setiap pagi ibulah antara yang paling awal bangun dari tidur seperti juga Cik(Cik Imam surau depan umah kami). Menyiapkan apa yang patut untuk kami seadanya. Seperti biasa, tiada hidangan istimewa untuk sarapan pagi kami. Selalunya, nasi goreng ikan kukus antara menu tetap sarapan pagi kami.
Selesai sarapan terus ke "padang" atau ke bendang(jika musim menanam padi). Tiada masa untuk bermenung-menung dan bersantai-santai. Kepayahan hidup menjadikan kami begitu(terutama ibu).
Ketabahan ibu terbukti lagi, bila pulang dari sawah atau "padang", tiada masa rehat untuk ibu. Membasuh baju kami antara rutin hidup ibu seharian. Dengan kudrat wanita ibu,bersama tangan lembut yang selalu membelai kami, ibu habiskan berpuluh-puluh helai baju, seluar serta pakaian-pakaian kami. Masa itu mana ada mesin basuh seperti zaman sekarang. Lepas semua selesai, ibu terus masuk dapur, masakkan untuk kami makan tengahari. Selalunya ibu mesti masakkan dulu untukku "ikan singgang" sebelum menyiapkan lauk-pauk yang lain. Sekarang baru aku memahami, hanya ibu yang paling memahami anak-anaknya, ibu akan sentiasa bersama sama ada di saat anak-anak senang atau ketika anak-anak melalui saat getir dalam hidup. Pengalaman sendiri mengajar aku begitu.
Selepas Lohor(Zohor), ibu tidur sekejap melepaskan lelahnya. Selalunya kami tidak akan mengganggu tidur ibu. Bila terjaga dari tidur, ibu bersiap untuk meneruskan rutin ke"padang", buat apa yang patut menjelang senja.
Setiap petang, macam biasa ibu agak kalut. Mandikan anak-anak, siapkan hidangan malam untuk kami. Ibu selalu bercerita tentang susahnya bersolat ketika kami anak-anaknya masih kecil. Sebab itu kata ibu, tua-tua ni tak nak jaga cucu dah. Kami anak-anak akan cuba memahaminya. Bila ada anak-anak sendiri, baru kami hampir memahaminya walaupun tidak sepenuhnya.
Waktu malam, selalunya ketika kami rehat bersama. Ibu selalu bercerita tentang apa yang dia lalui dalam hidupnya. Dari masa kecilnya, sehinggalah ibu menjadi ibu untuk kami, anak-anaknya.Rumah kami tiada TV, antara lambang kemewahan masyarakat kampung kami masa tu.
Sampai sekarang pun, ibu masih bercerita tentang kepayahan hidupnya.Tapi sejak akhir-akhir ini, sudah tidak banyak yang dapat kami kongsikan, kecuali hati ibu benar-benar terguris. Tapi sebagai anak, aku yakin masih banyak cerita lara yang ibu sembunyikan daripada kami terutama aku, anaknya yang paling mudah menangis.
Catatan 2 ini, aku dedikasikan buat adik beradikku, Mohamad, Hasiah, Mohd Shukri(Yahya), Zaliha dan Ruslina.◦
1 comment:
woh, berra aimato kawe be... sila rujuk blog kawe
Post a Comment