Pendidikan formal yang aku terima bermula semasa aku berumur tujuh tahun di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Jejulong 21600, Marang Terengganu. Itu yang aku ingatlah. Kalau tidak salah ingatan aku, mak pernah bercerita bahawa aku tidak pernah di hantar ke tadika sebelum masuk ke darjah satu. Atas alasan apa, itu pun aku tak ingat . Kebarangkalian yang tidak mungkin aku sediakan jawapannya dengan pasti di sini . Kemungkinan berkait dengan kesusahan dan kemiskinan keluarga kami masa itu. Tapi yang pastinya, aku masih berbangga(sekaranglah tu, dulu tak pernah fikirpun pasal tu) . Walaupun tidak pernah dihantar ke tadika atau mana-mana Pusat Asuhan, prestasi aku dalam setiap peperiksaan dari darjah satu hingga darjah enam amat memuaskan bagi anak kecil seperti aku pada masa itu.
Walaupun tidak pernah mendapat tempat pertama dalam kelas semasa berada di sekolah rendah, seingat aku, aku tidak pernah mendapat lebih dari tempat kelima(bahasa senangnya nombor 5) dalam kelas sepanjang belajar di sekolah rendah. Pernahlah juga merasa naik pentas ambil hadiah semasa majlis penyampaian hadiah akhir tahun. Hadiah lainnya yang selalunya aku dapat ialah hadiah pelajar yang hadir penuh sepanjang tahun. Salah satu perangai aku masa itu ialah tidak akan ponteng sekolah walaupun demam. Asalkan boleh bangun dan berjalan. Mesti nak pergi juga ke sekolah.
Mungkin(kerana Cik tak pernah sebut pun) Cik antara orang yang paling bangga masa itu .Kebetulan Cik masa tu Pengerusi PIBG dan pernah juga aku terima hadiah daripada Cik yang dijemput oleh pihak sekolah untuk menyampaikan hadiah.
Kenangan menimba ilmu dari guru-guru yang hebat pada masa itu, tidak mungkin akan dilupakan. Nama-nama mereka masih melekat kemas disanubari ini. Dan tidak mungkin akan terhapus oleh kelamaan masa selagi nyawa dikandung badan. Harap-harap begitulah.
Guru yang mungkin paling banyak membentuk kami(aku dan kawan-kawan ) pada masa itu ialah Cikgu Nik Omar. Seorang yang dianggap pakar(banyak orang bercerita tentangnya) dan aku sendiri akui setelah aku sendiri mengalaminya. Payah untuk aku bercerita tentang kehebatannya, tapi aku akui dia memang hebat termasuk dalam bidang perkebunan.Sekolah kami selalu dapat johan dalam pertandingan "Taman Hijau" (kalau tak silap namanya) sejak Cikgu Nik Omar yang menjadi "Trainer" kami pada masa itu. Paling akhir aku dengar tentang Cikgu Nik Omar 3 atau 4 atau 5 tahun lepas. Ingat-ingat lupa. Dengar ceritanya dia kena penyakit angin ahmar pada masa itu. Masa itu dia dah pencen. Ya Allah, seandainya Cikgu Nik Omar masih hidup, engkau kurniakanlah kesihatan yang baik untuknya. Seandainya dia telah pergi mengadapMu, engkau tempatkanlah rohnya bersama roh orang-orang yang beriman serta mendapat balasan syurgaMu. Amin.
Barangkali kenangan indah banyak mengiringi perjalanan semasa di sekolah rendah disebalik kepayahan dan kesulitan hidup kami diluar waktu sekolah. Antara yang masih melekat diingatanku, aku pernah menjadi pembaca doa perhimpunan pagi. Masa tu rasa macam berada diawangan setiap kali naik pentas. Tapi bolehlah baca sampai habis doanya. Berkat atau tidak, yang tu aku tidak pasti.
Pernah satu ketika, kalau tidak salah ingatanku, semasa darjah 3 atau 4, aku pernah menjadi penghafal sifir yang dijadikan "testimoni" oleh guru matematikku. Aku dibawa ke kelas darjah(tahun) 6, kemudian membuat "petunjukkan" menghafaz sifir satu hingga dua belas. Kira hebat gilalah masa tu rasanya.
Kemuncak kecemerlangan anak kampung seperti aku mungkin bermula semasa peperiksaan Penilaian Darjah Lima(sekarang UPSR kot) diumumkan. Masa Cik bagitau keputusan tu, aku sedang makan nasi tengahari setelah pulang dari sekolah. Entah macam mana(kalau tak silap keputusannya sampai lewat ke sekolah setelah aku pulang ke rumah) ,kebetulan Cik dapat tahu dulu keputusan tu. Lalu nasi itu aku tinggalkan, menahan debar di dada menunggu hari esok. Tidak sabar rasanya hendak melihat sendiri keputusan tu. Sementara menunggu hari esok, malam itu menjadi malam yang cukup meresahkan. Alhamdulillah, betullah aku dapat 4A dan 1C. Syukurlah walaupun sebenarnya aku target 5A. Seperti biasa subjek Bahasa Inggeris yang " buat tahi" masa tu.
Rentetan "kecemerlangan" itu, aku pernah dipanggil untuk menghadiri ujian(peperiksaan khas) untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara. Malangnya, aku "hancur". Mana tidaknya, soalannya "susah giler" bagi anak kampung yang kurang terdedah seperti aku.
Walaubagaimanapun, banyak jugalah sekolah-sekolah terpilih(orang kata-aku mana tahu masa tu, budak-budak lagi) yang "offer" untuk menyambung persekolahan. Tapi kenalah berpisah dengan keluarga. Bab ini aku tak kisah sangat. Antara sekolah yang masih aku ingat, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud(SESMA), kat Gong Badak Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah(selalunya orang Terengganu sebut sekolah IZ je) dan beberapa sekolah lagi yang aku dah lupa namanya. Dalam kepala aku masa tu hanya ada satu je"Maktab Rendah Sains Mara". Tapi rezekiku tiada di situ. Ahkirnya aku memilih Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek, Batu Buruk, Kuala Terengganu. Sebab aku memilih sekolah tersebut akan aku tulis dalam catatan berikutnya. Jangan lupa terus mengikuti catatan berikutnya
Kenangan manis yang aku tidak lupakan juga hingga kini, kami pernah menjadi johan pertandingan berlakon dalam bahasa Inggeris peringkat daerah Marang dan seterusnya mewakili daerah Marang ke peringkat negeri yang diadakan di Sekolah Menengah Sultan Omar, Dungun, Terengganu. Semasa peringkat negeri, kami dapat nombor empat, kira oklah juga. Kira ada bakat jugalah aku ni dalam bidang lakonan. Cuma sayangnya, bakatku tidak di asah.
Razak Nordin berpesan ; Maaf jika bahasa kurang kemas dan tersusun, pasal "mood" belum datang sepenuhnya lagi.
◦
No comments:
Post a Comment