Untaian Langkah

Thursday, March 25, 2010

Khutbah Jumaat : Nabi Muhammad s.a.w Rahmat dan Idola Unggul Sepanjang Zaman

Khutbah Pertama

Saya berpesan pada diri saya dan saudara-saudara sekalian agar bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwanya. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa kepada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian.
Seterusnya marilah kita tidak lupa untuk mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada  Allah s.w.t kerana pada hari jumaat yang penuh barakah ini, kita masih lagi dipilih oleh Allah s.w.t untuk terus memperhambakan diri kepadaNya dan masih lagi dikurniakan dengan pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya sama ada kita sedari atau tidak. Mimbar pada hari ini akan memperkatakan khutbah yang bertajuk “Nabi Muhammad s.a.w ; Rahmat dan Idola Unggul Sepanjang Zaman”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian.
Menjadi kewajipan kepada semua umat Islam di sepanjang zaman untuk terus memperingati  Rasul junjungan ini dengan cara yang betul dan dibenarkan oleh agama bukan sahaja bagi menguatkan lagi ingatan yang berkekalan kepada jasa-jasa dan pengorbanan Rasullullah s.a.w. kepada umat manusia seluruhnya tetapi apa yang lebih penting ialah mengamalkan ajaran-ajaran yang telah di bawa oleh Rasululullah s.a.w. dengan segala kepayahan dan keperitan sepanjang perjalanan dakwah Baginda.

Tidakkah Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu semua tidak akan sesat selepasku selagi kamu berpegang teguh pada keduanya, Kitab Allah(Quran) dan juga Sunnahku”. Maksud hadis.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian.
Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w adalah rasul akhir zaman yang amat mulia, tetapi perjalanan hidup seorang Nabi Allah yang amat mulia tidak selalunya dihamparkan dengan permaidani-permaidani merah untuk dilalui dengan senang dan mudah tetapi selalunya dipenuhi dengan segala ujian yang maha dahsyat, dihamparkan dengan duri serta dipenuhi onak dan kepayahan sepanjang perjalanan dakwahnya menyebarkan Islam, agama yang suci itu.

Kepentingan hidup dunia serta kemewahan yang ditawarkan tidak pernah mengaburi mata dan menghalang Rasulullullah s.a.w. untuk terus berdakwah. Akan tetapi, air mata, darah hatta nyawa serta seluruh hidupnya diwakafkan untuk Allah s.w.t. demi menyebarluaskan agama Islam kurniaan Allah s.w.t.

Sesungguhnya Allah s.w.t. sengaja mencipta liku-liku di sepanjang perjalanan dakwah selama lebih kurang 23 tahun itu sebagai suatu ujian serta menguatkan iman umat Islam mengenai kepercayaan mereka terhadap janji-janji kemenangan dari Allah. Dan Allah s.w.t telah dengan sengaja pula memilih Nabi Muhammad s.a.w. untuk dijadikan contoh teladan terbaik sepanjang zaman untuk manusia di atas muka bumi ini.

Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia. Sesungguhnya Nabi Muhammad merupakan satu rahmat kepada manusia sekalian alam. Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai pemimpin, ketua tentera dan juga sebagai pendamai bahkan bermacam-macam lagi contoh tauladan yang baik-baik untuk dicontohi. Tanda rahmat yang berkekalan dulu, kini dan selamanya. Keunggulan yang sengaja Allah ciptakan untuk manusia dari kalangan manusia juga.

Perkara ini telah dinyata secara jelas oleh Allah s.w.t sebagaimana firmannya dalam

Surah Al-Anbiya, ayat 107 bermaksud:

"Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."

Firmannya lagi.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang)

Dan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud ;

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda : Sesungguhnya perbandinganku dan Nabi-Nabi sebelumku, seperti orang yang membangun sebuah gedung(rumah). Dibuatnya dengan amat baik dan sangat bagus, tapi satu tempat batu bata terluang di sudutnya. Orang banyak mengelilingi rumah itu dan hairan, sambil berkata : “Mengapa tidak dipasang batu bata ini?” Beliau bersabda : “Sayalah batu bata itu dan sayalah penutup Nabi-nabi”. Shahih Bukhari 1532.

Nabi Muhammad s.a.w bukan sekadar lilin yang hanya mampu menerangi sisi persegi yang terbatas, bukan sekadar lampu kalimantang yang hanya mampu menerangi rumah yang mempunyai sempadan tertentu, bukan sekadar bulan yang menyinari sebahagian bumi di malam hari tetapi Nabi Muhammad s.a.w adalah matahari yang menutup malam dengan sinaran cahayanya. Menerobos semua tempat yang tidak mampu dimasuki oleh cahaya lilin, sinaran lampu kalimantang dan cahaya bulan. Menjadi bukti bahawa hadirnya adalah rahmat untuk sekalian alam.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian.
Sebagai umat Islam yang mengenang jasa dan pengorbanan Nabi Muhammad s.a.w, kita wajib menunjukkan rasa syukur kita dengan keputeraan baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Allah s.w.t berfirman dalam surah Yunus, ayat 57-58:

Maksudnyanya: Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu peringatan dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah: "Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan."

Sebahagian para ulama menafsirkan peringatan ini sebagai Nabi Muhammad s.a.w kerana baginda memang diutuskan untuk memberi peringatan kepada manusia. Dan Allah s.w.t memerintahkan kita agar merasa gembira dengan kehadiran baginda s.a.w di muka bumi.

Cinta kepada baginda s.a.w akan menjadikan kita umat Islam yang kuat menghadapi segala cabaran dalam kehidupan. Lebih-lebih lagi dalam dunia akhir zaman yang semakin mencabar ini. Mudah-mudahan kita akan terdorong untuk mencontohi baginda s.a.w dalam semua aspek kehidupan bersumberkan wahyu yang bersifat syumul itu. Dan baginda s.a.w telah memberikan contoh terbaik untuk diikuti oleh setiap individu muslim yang mengaku beriman kepada Allah serta Nabinya Muhammad s.a.w.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian.
Dalam ruang khutbah yang terbatas ini, mimbar yang mulia ini memilih untuk membawakan beberapa contoh tauladan yang pernah ditunjukkan oleh Rasululluh s.a.w sebagai renungan kita bersama.

Keberanian Rasullullah s.a.w. digambar dalam suatu hadis dari Anas r.a.

Dari Anas r.a. katanya: Nabi s.a.w. adalah seorang yang sangat baik, sangat berani dan sangat pemurah. Ada terjadi kegemparan di kalangan penduduk Madinah, dan Nabi s.a.w. paling dahulu menggendarai kuda. Beliau bersabda : “Kami dapati kuda itu amat kencang”.Shahii Bukhari 1287.

Rasulullah s.a.w. juga pernah luka-luka kerana turut sama berperang di medan pertempuran. Keperwiraan yang dibuktikan di medan tempur, bukan sekadar dibibir sahaja.

Dari Jundab bin Sufyan., Rasululullah s.a.w. berada pada suatu pertempuran, dan jari beliau berdarah, lalu beliau bersabda : “Engkaulah anak jari yang berdarah, dan engkau mengalaminya dalam membela agama Allah!”.Shahih Bukhari 1277.

Dari keperwiraan sifatnya di medan tempur , Rasullullah s.a.w. buktikan kehambaanya dan kerendahan diri kepada Allah s.w.t. dengan memohon ampun dan bertaubat kepada Allah s.w.t.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya : Saya mendengar Rasululullah s.a.w. bersabda : “Demi Allah! Saya meminta ampun dan bertaubat kepada Allah, dalam satu hari lebih dari tujuh puluh kali.” Shahih Bukhari 1732.

Menghargai pemberian jiran tetangga juga merupakan salah satu sifat terpuji Rasululullah s.a.w.

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya : “Hai kaum muslimat! Janganlah menganggap remeh pemberian seorang tetangga, walaupun hanya berupa kaki kambing”. Shahih Bukhari 1208.

Dan lagi

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya : “Sekiranya saya dipanggil untuk makan paha kambing atau kakinya, tentulah saya perkenankan, dan sekiranya saya diberi hadiah paha kambing atau kakinya, tentulah saya terima”. Shahih Bukhari 1209.

Demikianlah sebahagian contoh dari betapa banyaknya contoh yang pernah ditunjukkan oleh Rasullullah s.a.w yang dapat dikemukakan dalam ruang yang terbatas ini. Mudah-mudahan ada iktibar yang dapat dikutip dari contoh-contoh yang diberikan di atas.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian.
Masih adakah umat Islam yang tersentuh hati dan perasaannya apabila menghayati khutbah terakhir Rasullaullah s.a.w. yang terakhir ini.

Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

Dan jangan kita lupa akan sabda Rasulullah s.a.w dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar yang bermaksud ;

“Dari Ibnu Umar r.a. bahawa dia mendengar Nabi s.a.w bersabda : “Sepeninggalku janganlah kamu kembali menjadi kafir : yang satu memenggal yang lain.”. Shahih Bukhari 1869.

Barakallah.

Share/Bookmark

Wednesday, March 10, 2010

Selamat Datang Mélanie Georgiades @ Diam's

Selamat Datang Mélanie Georgiades @ Diam's.

Ke dalam agama fitrah ini.

Birth name        : Mélanie Georgiades
Also known as  : Diam's or Diamant
Born                  : July 25, 1980 (age 29)
Origin                : Nicosia, Cyprus
Genres               : French Hip-Hop, R&B, hip hop soul
Years active      : 1998-present
Website             :http://www.diams-lesite.com/
Peluk Islam       : 2009.

Saya petik dua kata-katanya untuk perkongsian.

“Saya belum menemukan jalan untuk menyelesaikan masalah yang selama ini saya hadapi, sama ada dari sudut psikologi mahupun ilmu kejiwaan. Namun, hal ini saya dapat dalam agama Islam”,

“Kemasyhuran dan kekayaan tidak membuat saya tenteram seperti yang saya impikan, dan saya hanya mendapatkan jawapan dari Allah SWT”

Cerita lanjut : Dalam Majalah i. Bil 88. FEBRUARI 2010 .Halaman 83-85.

Razak Nordin berpesan ; Selamat datang Diam's. Kembali kepada fitrah. 

Share/Bookmark

Tuesday, March 09, 2010

Dua Golongan Saja

Sabda Nabi S.A.W. : Terjemahan : Manusia itu ada dua golongan sahaja, orang pandai dan pelajar dan tidak ada kebajikan selain daripada keduanya.

Firman Allah dalam surah AL-Nahl (16 :43) ;

Terjemahannya ;  
43. dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, Yang Kami wahyukan kepada mereka. oleh itu Bertanyalah kamu (Wahai golongan musyrik) kepada orang-orang Yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.

Saya dedikasikan catatan ringkas ini kepada semua yang pernah, sedang dan akan menjadi pelajar-pelajar saya khususnya di dua politeknik yang pernah dan sedang saya berkhidmat.

Politeknik Kota Kinabalu dan Politeknik Perlis(Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin)

Ringkas dan penuh makna untuk orang-orang yang mahu berfikir.

Razak Nordin berpesan ; Dipetik dari Manusia dan Islam Jilid III. Mukasurat 98.

Share/Bookmark