Untaian Langkah

Thursday, July 30, 2009

Catatan 3-Sekolah Rendah

Pendidikan formal yang aku terima bermula semasa aku berumur tujuh tahun di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Jejulong 21600, Marang Terengganu. Itu yang aku ingatlah. Kalau tidak salah ingatan aku, mak pernah bercerita bahawa aku tidak pernah di hantar ke tadika sebelum masuk ke darjah satu. Atas alasan apa, itu pun aku tak ingat . Kebarangkalian yang tidak mungkin aku sediakan jawapannya dengan pasti di sini . Kemungkinan berkait dengan kesusahan dan kemiskinan keluarga kami masa itu. Tapi yang pastinya, aku masih berbangga(sekaranglah tu, dulu tak pernah fikirpun pasal tu) . Walaupun tidak pernah dihantar ke tadika atau mana-mana Pusat Asuhan, prestasi aku dalam setiap peperiksaan dari darjah satu hingga darjah enam amat memuaskan bagi anak kecil seperti aku pada masa itu.
Walaupun tidak pernah mendapat tempat pertama dalam kelas semasa berada di sekolah rendah, seingat aku, aku tidak pernah mendapat lebih dari tempat kelima(bahasa senangnya nombor 5) dalam kelas sepanjang belajar di sekolah rendah. Pernahlah juga merasa naik pentas ambil hadiah semasa majlis penyampaian hadiah akhir tahun. Hadiah lainnya yang selalunya aku dapat ialah hadiah pelajar yang hadir penuh sepanjang tahun. Salah satu perangai aku masa itu ialah tidak akan ponteng sekolah walaupun demam. Asalkan boleh bangun dan berjalan. Mesti nak pergi juga ke sekolah.
Mungkin(kerana Cik tak pernah sebut pun) Cik antara orang yang paling bangga masa itu .Kebetulan Cik masa tu Pengerusi PIBG dan pernah juga aku terima hadiah daripada Cik yang dijemput oleh pihak sekolah untuk menyampaikan hadiah.
Kenangan menimba ilmu dari guru-guru yang hebat pada masa itu, tidak mungkin akan dilupakan. Nama-nama mereka masih melekat kemas disanubari ini. Dan tidak mungkin akan terhapus oleh kelamaan masa selagi nyawa dikandung badan. Harap-harap begitulah.
Guru yang mungkin paling banyak membentuk kami(aku dan kawan-kawan ) pada masa itu ialah Cikgu Nik Omar. Seorang yang dianggap pakar(banyak orang bercerita tentangnya) dan aku sendiri akui setelah aku sendiri mengalaminya. Payah untuk aku bercerita tentang kehebatannya, tapi aku akui dia memang hebat termasuk dalam bidang perkebunan.Sekolah kami selalu dapat johan dalam pertandingan "Taman Hijau" (kalau tak silap namanya) sejak Cikgu Nik Omar yang menjadi "Trainer" kami pada masa itu. Paling akhir aku dengar tentang Cikgu Nik Omar 3 atau 4 atau 5 tahun lepas. Ingat-ingat lupa. Dengar ceritanya dia kena penyakit angin ahmar pada masa itu. Masa itu dia dah pencen. Ya Allah, seandainya Cikgu Nik Omar masih hidup, engkau kurniakanlah kesihatan yang baik untuknya. Seandainya dia telah pergi mengadapMu, engkau tempatkanlah rohnya bersama roh orang-orang yang beriman serta mendapat balasan syurgaMu. Amin.
Barangkali kenangan indah banyak mengiringi perjalanan semasa di sekolah rendah disebalik kepayahan dan kesulitan hidup kami diluar waktu sekolah. Antara yang masih melekat diingatanku, aku pernah menjadi pembaca doa perhimpunan pagi. Masa tu rasa macam berada diawangan setiap kali naik pentas. Tapi bolehlah baca sampai habis doanya. Berkat atau tidak, yang tu aku tidak pasti.
Pernah satu ketika, kalau tidak salah ingatanku, semasa darjah 3 atau 4, aku pernah menjadi penghafal sifir yang dijadikan "testimoni" oleh guru matematikku. Aku dibawa ke kelas darjah(tahun) 6, kemudian membuat "petunjukkan" menghafaz sifir satu hingga dua belas. Kira hebat gilalah masa tu rasanya.
Kemuncak kecemerlangan anak kampung seperti aku mungkin bermula semasa peperiksaan Penilaian Darjah Lima(sekarang UPSR kot) diumumkan. Masa Cik bagitau keputusan tu, aku sedang makan nasi tengahari setelah pulang dari sekolah. Entah macam mana(kalau tak silap keputusannya sampai lewat ke sekolah setelah aku pulang ke rumah) ,kebetulan Cik dapat tahu dulu keputusan tu. Lalu nasi itu aku tinggalkan, menahan debar di dada menunggu hari esok. Tidak sabar rasanya hendak melihat sendiri keputusan tu. Sementara menunggu hari esok, malam itu menjadi malam yang cukup meresahkan. Alhamdulillah, betullah aku dapat 4A dan 1C. Syukurlah walaupun sebenarnya aku target 5A. Seperti biasa subjek Bahasa Inggeris yang " buat tahi" masa tu.
Rentetan "kecemerlangan" itu, aku pernah dipanggil untuk menghadiri ujian(peperiksaan khas) untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara. Malangnya, aku "hancur". Mana tidaknya, soalannya "susah giler" bagi anak kampung yang kurang terdedah seperti aku.
Walaubagaimanapun, banyak jugalah sekolah-sekolah terpilih(orang kata-aku mana tahu masa tu, budak-budak lagi) yang "offer" untuk menyambung persekolahan. Tapi kenalah berpisah dengan keluarga. Bab ini aku tak kisah sangat. Antara sekolah yang masih aku ingat, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud(SESMA), kat Gong Badak Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah(selalunya orang Terengganu sebut sekolah IZ je) dan beberapa sekolah lagi yang aku dah lupa namanya. Dalam kepala aku masa tu hanya ada satu je"Maktab Rendah Sains Mara". Tapi rezekiku tiada di situ. Ahkirnya aku memilih Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek, Batu Buruk, Kuala Terengganu. Sebab aku memilih sekolah tersebut akan aku tulis dalam catatan berikutnya. Jangan lupa terus mengikuti catatan berikutnya
Kenangan manis yang aku tidak lupakan juga hingga kini, kami pernah menjadi johan pertandingan berlakon dalam bahasa Inggeris peringkat daerah Marang dan seterusnya mewakili daerah Marang ke peringkat negeri yang diadakan di Sekolah Menengah Sultan Omar, Dungun, Terengganu. Semasa peringkat negeri, kami dapat nombor empat, kira oklah juga. Kira ada bakat jugalah aku ni dalam bidang lakonan. Cuma sayangnya, bakatku tidak di asah.
Razak Nordin berpesan ; Maaf jika bahasa kurang kemas dan tersusun, pasal "mood" belum datang sepenuhnya lagi.

Share/Bookmark

Friday, July 24, 2009

Selingan Petang-Fakta Mengenai Berfikir

Fakta ni aku dapat masa kursus CPCM pada 14-17 Julai 2009 kat Hotel Seri Malaysia Kulim, Kedah. Trainer kami masa tu ialah En. Mohsen Amdan.

Fakta Mengenai Berfikir

  • 2% manusia yang berfikir
  • 3 % manusia yang fikir dia berfikir
  • 95% manusia yang lebih rela mati dari berfikir
  • "Masalah manusia kini ialah mereka malas untuk berfikir"-Dr. Albert Schitzer
(Dikutip dari nota kursus Outreach/Promotion Strategy For Life Long Learning oleh En. Mohsen Amdan pada 14-17 Julai 2009 di Hotel Seri Malaysia, Kulim, Kedah)
Razak Nordin berpesan ; Kutiplah ilmu yang berguna walaupun sekecil manapun ilmu itu pada pandangan mata.◦
Share/Bookmark

Selingan Pagi-Rasulullah s.a.w. pernah bersabda

" Segeralah berpagi-pagi di jalan ALLAH, nescaya ALLAH menghampirkan rezeki-NYA untukmu."

"Allah berfirman, sesiapa yang sentiasa mengingati-KU dan memohon kepada-KU akan AKU berikan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dia minta."-Hadis Qudsi

"Benda yang paling berat yang diletakkan dalam timbangan pada Hari Kiamat nanti ialah takwa kepada Allah dan budi pekerti yang baik."

" Kebajikan itu adalah budi pekerti yang baik, yang namanya dosa ialah hal-hal yang menggelisahkan hati engkau dan engkau tidak suka apabila hal itu diketahui oleh orang lain."

"Barang siapa yang berpisah nyawanya dengan tubuhnya dan dia terlepas dari tiga perkara, nescaya dia masuk syurga, iaitu sombong, hutang dan iri hati."

"ALLAH tidak mendekati seseorang sebelum orang itu mendekati-NYA, dan amal yang paling dicintai ALLAH ialah amal yang berterusan dilakukan walaupun sedikit."

"Aku beri kamu dua nasihat, yang satu dapat berbicara, sedangkan yang satu lagi bisu. Yang berbicara adalah Al Quran, yang bisu adalah kematian."

Razak Nordin berpesan ; Peruntukkan sebahagian masa dari hidupmu untuk melihat ke dalam diri.
Razak Nordin berpesan ; Bersabarlah menunggu catatan 3 kerana 'mood'nya belum tiba.◦
Share/Bookmark

Tuesday, July 14, 2009

Catatan 2 : Sebelum Masuk Sekolah

Semenjak aku lahir, seperti juga kalian semua, mana mungkin aku catatkan diari hidup ini kerana masa itu aku belum mengerti apa-apa tentang hidup ini. Tentang kesabaran, penderitaan, kepayahan, keperitan, suka duka serta pahit maung kami sekeluarga melalui hari-hari yang mendatang.

Walaubagaimana, masa selang yang ada, ibu selalu bercerita tentang kepayahan, kesusahan hidup sekeluarga. Selalunya aku yang selalu menitiskan airmata mendengar cerita ibu. Hingga kini pun, aku percaya, kami adik beradik masih menyimpan kemas di sudut hati kami, detik-detik sukar yang pernah kami lalui bersama. Sekarang umurku sudah meningkat ke angka ke 37,tetapi secara jujur aku katakan, sampai bila-bila pun aku tidak akan dapat melupakan liku2 kehidupan yang kami lalui dahulu.(Nanti aku ceritakan catatan seterusnya nanti-akan ku cuba garapnya sebaik mungkin, berkongsi cerita hidup ini).

Kata ibu, sejak dari kecil lagi aku selalu dibawa ke"padang"(tempat orang bercucuk tanam). Kata ibu masa tu, Cik dan ibu(termasuk kami adik beradik) menanam jagung untuk meneruskan kelangsungan hidup. Pendek kata apa sahaja kerja yang menghasilkan "pitis" dilakukan oleh keluarga kami.

Walaupun ibu bertubuh kecil, tetapi jiwa dan semangatnya tidak sekecil fizikalnya. Bila aku meningkat dewasa, baru aku dapat menyelami "kepenatan" ibu melalui hari-hari dalam hidupnya bersama kami. Seingat aku, ibu tidak pernah mengeluh lantaran kepayahan hidup yang terpaksa dilalui. Bahkan ibu sanggup mengambilalih tempat kami untuk "dimarahi" oleh Cik. Cik memang garang masa tu. Kami adik-beradik memang cukup memahami perangai Cik.Tapi Cik tak pernah pukul kami.Garang mulut je.Antara keistimewaan Cik pada pandangan aku.

Berbalik pada cerita Ibu, setiap pagi ibulah antara yang paling awal bangun dari tidur seperti juga Cik(Cik Imam surau depan umah kami). Menyiapkan apa yang patut untuk kami seadanya. Seperti biasa, tiada hidangan istimewa untuk sarapan pagi kami. Selalunya, nasi goreng ikan kukus antara menu tetap sarapan pagi kami.

Selesai sarapan terus ke "padang" atau ke bendang(jika musim menanam padi). Tiada masa untuk bermenung-menung dan bersantai-santai. Kepayahan hidup menjadikan kami begitu(terutama ibu).

Ketabahan ibu terbukti lagi, bila pulang dari sawah atau "padang", tiada masa rehat untuk ibu. Membasuh baju kami antara rutin hidup ibu seharian. Dengan kudrat wanita ibu,bersama tangan lembut yang selalu membelai kami, ibu habiskan berpuluh-puluh helai baju, seluar serta pakaian-pakaian kami. Masa itu mana ada mesin basuh seperti zaman sekarang. Lepas semua selesai, ibu terus masuk dapur, masakkan untuk kami makan tengahari. Selalunya ibu mesti masakkan dulu untukku "ikan singgang" sebelum menyiapkan lauk-pauk yang lain. Sekarang baru aku memahami, hanya ibu yang paling memahami anak-anaknya, ibu akan sentiasa bersama sama ada di saat anak-anak senang atau ketika anak-anak melalui saat getir dalam hidup. Pengalaman sendiri mengajar aku begitu.

Selepas Lohor(Zohor), ibu tidur sekejap melepaskan lelahnya. Selalunya kami tidak akan mengganggu tidur ibu. Bila terjaga dari tidur, ibu bersiap untuk meneruskan rutin ke"padang", buat apa yang patut menjelang senja.

Setiap petang, macam biasa ibu agak kalut. Mandikan anak-anak, siapkan hidangan malam untuk kami. Ibu selalu bercerita tentang susahnya bersolat ketika kami anak-anaknya masih kecil. Sebab itu kata ibu, tua-tua ni tak nak jaga cucu dah. Kami anak-anak akan cuba memahaminya. Bila ada anak-anak sendiri, baru kami hampir memahaminya walaupun tidak sepenuhnya.

Waktu malam, selalunya ketika kami rehat bersama. Ibu selalu bercerita tentang apa yang dia lalui dalam hidupnya. Dari masa kecilnya, sehinggalah ibu menjadi ibu untuk kami, anak-anaknya.Rumah kami tiada TV, antara lambang kemewahan masyarakat kampung kami masa tu.

Sampai sekarang pun, ibu masih bercerita tentang kepayahan hidupnya.Tapi sejak akhir-akhir ini, sudah tidak banyak yang dapat kami kongsikan, kecuali hati ibu benar-benar terguris. Tapi sebagai anak, aku yakin masih banyak cerita lara yang ibu sembunyikan daripada kami terutama aku, anaknya yang paling mudah menangis.

Catatan 2 ini, aku dedikasikan buat adik beradikku, Mohamad, Hasiah, Mohd Shukri(Yahya), Zaliha dan Ruslina.◦
Share/Bookmark

Monday, July 13, 2009

Catatan 1-Permulaan Hidupku

Mengikut catatan surat beranak, nama penuh aku Razak Bin Nordin. No Surat Beranak aku B 985800.


Di lahirkan di Hospital Besar Kuala Terengganu pada 4th. July 1972 @ 6-37 pm. Anak kedua dari enam orang adik beradik. Mengikut cerita mak aku, aku ni lahir ikut "tingkap". Padanlah keras kepala jugok aku ini. Bapaku Nordin Bin A. Rahman, "orang kampung" yang buat semua kerja. Dialah petani, pekebun kecil, penanam sayur, penoreh getah, tukang kayu. Pendek kata apa sahaja kerja yang mendatangkan "pitis", dia lakukan untuk membesarkan kami 6 beradik ini. Ibuku Fatimah Bt Mohd, seorang surirumah sepenuh masa. Walaupun ada kalanya terpaksa turun ke bendang menolong Cik(panggilan kami untuk bapa kami). Menanam sayur-sayuran untuk meringan beban keluarga.

Kesusahan keluarga menyebabkan aku mempunyai cita-cita besar dalam hidup. Walaupun belum tercapai sepenuhnya, tapi aku bangga menjadi seperti hari ini. Jangan bicara kepadaku tentang kesusahan dan keperitan menjadi anak kepada seorang "orang kampung" seperti bapaku. Jangan bicara tentang hanyirnya selut, tentang lintah di sawah dan pacat di daratan, tentang nyamuk di kebun getah. Aku lebih tau bagaimana "wanginya" bau getah atau kami panggil "tahi getah".

Bapaku walau tidak berpendidikan tinggi, tapi aku bangga mempunyai bapa sepertinya. Sentiasa ambil berat tentang pelajaran kami adik beradik. Cuma aku tidak pandai menunjukkan kebanggaanku dihadapannya. Emak pulok seorang yang tabah menghadapi perjuangan hidup ini. Hidup seadanya, dalam kepayahan membesarkan kami adik beradik.
Masih ingat lagi, bila ada kelas tambahan, Cik mesti hantarkan nasi dengan kapcai buruknya.(TC 8258-masih ku ingat kapcai yang banyak berjasa dalam hidupku itu).
Kalau ada mesyuarat PIBG, mesti dia hadir walaupun terpaksa naik bas(masa aku sekolah di SMKA Syeikh Abdul Malik(SHAMS) Kuala Terengganu) dan jauhnya perjalanan.(Untuk makluman, bapaku dulu Pengerusi PIBG di sekolah rendah aku, Sekolah Keb. Bukit Jejulong, Marang, Terengganu).

Kami mempunyai 6 orang adik beradik, Mohamad(sulong-menetap di kampung),Razak(akulah tu), Hasiah(dah kawin, menetap di Padang Serai, Mohd Syukri(kat kampung bersama Cik), Zaliha(sekarang kat UKM) dan Ruslina (bongsu-kat UKM jugok).◦
Share/Bookmark