Untaian Langkah

Friday, November 26, 2010

La Tahzan 8- Banyaklah Menelaah Dan Merenung

Mempunyai ilmu yang luas, menguasai banyak teori keilmuan, berwawasan, berfikiran secara bernas, memahami masalah dan hujah pijakannya adalah sedikit dari sekian banyak faktor yang dapat membantu menyebabkan kelapangan di dalam hati.

"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama." (Surah Fatir : 28)

"Bahkan yang sebenar, mereka mendustakan apa yang mereka belum mengetahui dengan sempurna." (Surah Yunus : 19)

"Orang yang berpengetahuan luas adalah orang yang berfikiran bebas dan berjiwa tenang."

Semakin lapang dada jika lebih banyak sumbangan yang diberikan dan semakin sempit ketika merasa cukup.

Seorang pemikir Barat menyatakan :"Saya mempunyai satu fail besar di dalam laci saya. Di atasnya tertulis : "Kebodohan-kebodohan yang saya lakukan." Saya tuliskan semua kesalahan, kelalaian dan hal-hal remeh-temeh yang saya lakukan pada siang dan malam hari supaya saya boleh membuang semua itu."

Ulasan saya ; "Anda bukan orang yang pertama melakukan itu. Para ulama terdahulu dari umat Islam sudah melakukan itu dengan bermuhasabah diri secara mendalam dan mengawal diri secara ketat."

"Dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali(dirinya sendiri)." ( Surah AL Qiyamah : 2)

Hasan Al Bashri berkata  : " Orang Islam itu sangat ketat melakukan muhasabah terhadap dirinya sendiri, lebih ketat berbanding kawalan seorang peniaga terhadap rakan kongsinya."

Rabi' bin Khuthamim selalu menulis apa yang dia ucapkan dari hari Jummat yang satu hingga hari Jumaat yang berikutnya. Jika yang dia ucapkan selama seminggu itu baik maka dia akan memuji Allah dan jika buruk maka di akan beristighfar.

Seorang ulama dari kalangan salaf telah berkata : " Aku telah berbuat dosa empat puluh tahun yang lalu dan aku memohon kepada Allah supaya mengampuniku. Dan aku sentiasa memohon ampunan kepadaNya hingga kini."

"Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar."(Surah Al Mukminun : 60)

Razak Nordin berpesan ; Jangan Bersedih Jilid 1. Halaman 351-352.
◦
Share/Bookmark

Wednesday, November 24, 2010

La Tahzan 7-Ambil Madunya, Jangan Rosakkan Sarangnya

Di mana pun kelembutan itu berada, ia akan menghiasi tempat itu. Begitulah halnya kalau ia dicabut dari sesuatu tempat ; ia akan mengotorinya. Kelembutan tutur kata, senyuman ikhlas di bibir dan sapaan-sapaan hangat yang terpuji ketika bersua merupakan hiasan-hiasan yang selalu dikenakan oleh orang-orang mulia.

Semua itu merupakan sifat seorang mukmin yang akan menjadikannya seperti seekor lebah ; makan dari makanan yang baik dan menghasilkan madu yang  baik. Dan kalau hinggap pada setangkai bunga, ia tidak pernah merosaknya. Hal itu kerana Allah menganugerahkan pada kelembutan sesuatu yang tidak Dia berikan kepada kekerasan.

Di antara manusia terdapat orang-orang 'istimewa' yang membuat banyak kepala tunduk hormat menyambut kedatangannya, banyak massa berduyun-duyun ingin melihat mukanya, banyak hati bersimpati padanya dan banyak jiwa memujanya. Dan mereka itu sudah tentulah orang-orang yang amat disukai dan diperkatakan manusia disebabkan kepemurahan dan kelobaannya, kejujurannya dalam berjual beli dan keramahan dan sopan santunnya dalam bergaul.

Mencari ramai kawan merupakan bimbingan dalam hidup yang selalu dicontohkan oleh orang-orang terhormat disebabkan akhlak dan perilakunya yang terpuji. Mereka itulah orang-orang yang selalu berada di tengah-tengah kerumunan manusia dengan senyum yang merekah, keramahan yang menenteramkan dan sopan santun yang menyejukkan. Dan jesteru itu, mereka selalu ditanyakan dan didoakan ketika tidak nampak. 

Orang-orang yang bahagia mempunyai bimbingan akhlak yang secara garis besar tercakup dalam slogan:
"Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-seolah seorang sahabat karib." (Surah Fussilat : 34)

Begitulah mereka dapat menghapuskan rasa dengki dengan emosi yang terkawal, kesabaran yang menyejukkan dan kemudahan memaafkan yang menenteramkan. Mereka ialah orang-orang yang mudah melupakan kejahatan dan mengingat kebaikan orang lain. Jesteru, ketika kata-kata kotor dan keji terlontar untuk mereka, telinga mereka tidak pernah memerah dibuatnya. Bahkan mereka memandang kata-kata itu sebagai angin lalu yang tidak akan kembali.

Mereka itulah orang-orang yang selalu berada dalam kedamaian, orang-orang yang berada disekeliling mereka merasa aman dan kaum muslimin yang bersama mereka pun merasa tenteram.

"Orang Islam adalah orang yang jika orang Islam yang lain tidak merasa terganggu oleh lisan dan tangannya. Manakala orang mukmin adalah orang yang membuat orang lain merasa aman terhadap darah dan hartanya."(Hadis Nabi)

"Sesungguhnya Allah menyuruhku untuk menyambung tali silaturahim pada orang yang memutuskan silaturahim denganku. Aku disuruh untuk mengampuni orang yang berlaku zalim terhadapku dan memberi kepada orang yang tidak pernah memberi kepadaku." (Hadis Nabi)

"Dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang." (Surah Ali Imran : 134)

Sampaikan khabar gembira kepada mereka bahawa balasan Allah atas ketenangan, ketenteraman dan kedamaian mereka adalah akan disegerakan.

Khabarkan pula satu khabar gembira kepada mereka bahawa mereka juga akan mendapat balasan besar di akhirat berupa syurga-syurga dan sungai-sungai yang indah di sisi Tuhan mereka nanti. Yakni :

"Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya." (Surah Al Qamar: 55)

Razak Nordin berpesan : Jangan Bersedih Jilid 1.Halaman 42-44.
◦
Share/Bookmark

La Tahzan 6-Jangan Berdukacita, Terima Sahajalah Pilihan Allah Untuk Anda

Bangunlah jika Dia membangunkan diri anda dan duduklah jika Dia menyuruh anda duduk. Bersabarlah ketika Allah menjadikan diri anda sebagai orang miskin dan bersyukurlah manakala Dia menjadikan diri anda adalah orang yang kaya. Itu semua akan menjadi kenyataan dari ikrarmu :

"Aku rela Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad SAW sebagai Nabiku."

Perhatikan madah pujangga ini :

Janganlah merasa mampu mengatur dirimu sebab orang yang pandai mengatur pun dapat binasa. Terimalah Kami jika Kami memutuskan sebab Kami lebih berhak dari dirimu.

Razak Nordin berpesan ; Jangan bersedih Jilid 1. Halaman 140.
◦
Share/Bookmark

Tuesday, November 16, 2010

La Tahzan 5-Berbuat Baik Dapat Menyejukkan Jiwa







Kebaikan itu sebaik namanya, keramahan seramah wujudnya  dan keikhlasan itu sesuci rupanya. Dan orang-orang yang mula-mula akan dapat merasa manfaat dari semua itu adalah mereka yang melakukannya. Mereka ini, akan merasa hasilnya serta merta dalam jiwa, akhlak dan nurani mereka, hingga mereka pun sentiasa berlapang dada, tenang, tenteram dan damai.

Ketika anda diliputi kesedihan dan kebimbangan, berbuat baiklah terhadap sesama manusia, nescaya anda akan mendapat ketenteraman dan kedamaian hati. Sedekahilah orang yang papa, tolonglah orang-orang yang dizalimi, ringankan beban orang yang menderita, berikan makan orang yang kelaparan, jenguklah orang yang sakit dan bantulah orang yang ditimpa musibah, nescaya anda akan merasa bahagia dalam semua aspek hidup anda.

Perbuatan baik itu bagai wewangian yang tidak hanya mendatangkan manfaat bagi pemakaiannya, tetapi juga orang-orang yang berada di sekelilingnya. Dan manfaat kejiwaan dari kebaikan itu terasa seperti ubat-ubat berkesan yang tersedia di farmasi orang-orang yang berhati baik dan bersih.

Menebar senyum manis kepada orang-orang yang 'miskin akhlak' merupakan sedekah jariyah. Ini, tersirat dalam bimbingan akhlak yang menyebut : " sekalipun engkau hanya menemui saudaramu dengan wajah berseri." (Hadis Nabi)

Sedang kemuruman wajah merupakan tanda permusuhan sengit terhadap orang lain yang hanya diketahui berlakunya oleh Yang Maha Ghaib.

Seteguk air yang diberikan seorang pelacur kepada seekor anjing yang kehausan dapat menghasilkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ini merupakan bukti bahawa Yang Pemberi pahala adalah Zat Yang Maha Pemaaf, Maha Baik dan sangat mencintai kebaikan, serta Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Wahai orang-orang yang merasa terancam dengan himpitan kesengsaraan, kecemasan dan kebimbangan hidup, kunjungilah taman-taman kebaikan; sibukkan diri kamu dengan memberi, mengunjungi, membantu, menolong dan meringankan beban sesama manusia. Dengan semua itu, nescaya kamu akan mendapat kebahagiaan dalam semua aspeknya ; rasa, warna dan juga hakikatnya. 

"Sedangkan ia tidak menanggung budi sesiapa pun, yang patut dibalas, hanyalah mengharap keredhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi. Dan demi sesungguhnya, ia tetap akan berpuas hati(pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya)."(Surah Al Lail : 19-21)

Razak Nordin berpesan ; Jangan bersedih Jilid 1. Halaman 24-25.  
◦
Share/Bookmark

Friday, October 29, 2010

La Tahzan 4-Inilah Hari Kepunyaan Anda







Apabila anda berpagi-pagi maka janganlah menunggu hari petang. Hari inilah yang akan anda tempuhi, bukan hari kelmarin yang sudah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukannya dan juga bukan hari esok yang belum tentu datang. Hari yang ketika ini mataharinya menyinari anda dan siangnya menyapa anda inilah hari anda.

Bukan mustahil hidup anda tinggal sehari sahaja lagi-hari ini. Maka anggaplah masa hidup anda hanya hari ini sahaja atau seolah-olah anda dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga. Dengan begitu, hidup anda tidak akan koyak rabak di antara gumpalan keresahan, kesedihan dan suka duka serta pedih luka parut masa masa lalu dengan bayangan masa depan yang penuh keraguan dan sering menakutkan.

Jesteru itu, sudah sepatutnya anda mencurahkan seluruh perhatian, kepedulian dan kerja kuat anda pada waktu ini untuk hari ini. Dan pada hari inilah, anda perlu berazam mempersembahkan kualiti sembahyang yang paling khusyuk, bacaan Al Quran yang paling tartil dan penuh renungan, berzikir dengan sepenuh hati, keseimbangan dalam segala hal, keindahan dalam akhlak, kerelaan dan keredhaan dengan semua yang Allah berikan, perhatian terhadap keadaan sekeliling, mengambil berat terhadap kesihatan jiwa dan raga serta berbuat baik terhadap sesama manusia.

Jadi sudah sepatutnya anda pada hari ini lebih bijak dan pandai membahagi-bahagi waktu anda dengan bijaksana. Jadikanlah setiap minitnya bagai ribuan tahun dan setiap saatnya bagai ratusan bulan; tanamlah kebaikan sebanyak-banyaknya pada hari ini dan persembahkanlah sesuatu yang paling indah untuknya. Beristighfarlah atas semua dosa, ingatlah sentiasa kepadaNya, bersiap-siaplah untuk satu perjalanan jauh menuju akhirat dan nikmatilah hari ini dengan segala keriangan dan kebahagiaan. Terimalah rezeki, isteri, suami, anak-anak, tugas-tugas, rumah, ilmu dan jawatan hari ini dengan penuh keredhaan.

"Terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur."(Surah A'raf : 144)

Marilah kita hidup hari ini tanpa kesedihan, tanpa keresahan, tanpa kemarahan, tanpa kedengkian dan tanpa kebencian!

Pada waktu yang sama, anda jangan lupa untuk menggoreskan pada dinding hati anda suatu kalimat: "Inilah hari saya." Maka, jika hari ini anda dapat memakan nasi panas yang sedap aromanya maka adakah nasi basi yang tidak anda habiskan kelmarin atau nasi panas esok hari yang belum tentu dapat anda nikmati itu akan merugikan anda?

Seandainya anda masih dapat minum air bersih dan segar hari ini maka mengapa anda perlu bersedih hati atas air masin yang anda minum kelmarin atau mengkhuatirkan air hambar dan panas esok hari yang belum tentu sampai?

Jika anda percaya pada diri anda, dengan semangat dan azam yang kuat, anda akan dapat menundukkan diri anda untuk berpegang pada prinsip : "Aku hanya akan hidup hari ini." Prinsip inilah yang akan menyibukkan diri anda setiap saat supaya sentiasa memperbaiki keadaan, mengembangkan semua potensi dan mengikhlaskan setiap amalan.

Sikap demikian akan membuat anda berkata dalam hati:
Inilah harinya aku masih berpeluang untuk mengatakan yang baik-baik sahaja, menghidari bercakap kotor, lucah dan menjijikkan, tidak akan mencela, mengherdik dan juga memperkatakan keburukan orang lain. Hanya hari ini aku berpeluang mengemas rumah dan pejabat supaya tidak kacau bilau dan berantakan, supaya rapi dan teratur. Dan kerana hari ini sahaja aku akan hidup maka aku akan memerhatikan kebersihan tubuhku, kekemasan penampilanku, keharusan tutur kata dan perilakuku.

"Kerana jika aku hanya diizinkan hidup hari ini maka aku akan berusaha sekuat tenaga untuk taat kepada Allah, mengerjakan sembahyang sesempurna mungkin, membekali diri dengan sembahyang-sembahyang sunat, berpegang teguh pada ajaran AL-Quran, mengkaji dan mencatat segala yang mendatangkan manfaat buatku.

"Aku hanya mempunyai hidup yang pasti hari ini, sebab itu aku akan menanamkan dalam hatiku semua nilai keutamaan dan mencabut darinya pohon-pohon kejahatan serta ranting-rantingnya yang berduri, tidak kira sifat takbur, ujub, riya', buruk sangka dan lain-lain.

"Hanya hari ini aku akan dapat menghirup udara kehidupan maka aku akan berbuat baik kepada orang lain dan menghulurkan tangan kepada siapa pun. Aku akan menziarahi mereka yang sakit, menghantar jenazah, menunjukkan jalan yang benar bagi yang tersesat, memberi makan orang kelaparan, menolong orang yang sedang kesusahan, membantu orang yang dizalimi, meringankan penderitaan orang yang lemah, mengasihi mereka yang menderita, menghormati orang alim, menyanyangi kanak-kanak dan berbakti kepada ibu bapa. 

"Aku hanya akan hidup hari ini maka aku akan mengucapkan :

"Wahai masa lalu yang sudah berlalu dan selesai, tenggelamlah seperti mataharimu. Aku tidak akan menangisi kepergiaanmu dan kamu tidak akan melihatku termenung sebentar pun untuk mengingatimu. Kamu sudah meninggalkan kami semua, pergilah dan jangan kembali lagi."

"Wahai masa depan, engkau masih dalam keghaiban. Maka aku tidak akan bermain dengan khayalan dan memperjudikan nasib hanya kerana satu agakan. Aku juga tidak bakal memburu sesuatu yang belum tentu ada, sebab esok hari mungkin tidak ada sesuatu; esok hari adalah sesuatu yang belum diciptakan dan tidak ada satu pun darinya yang dapat disebutkan."

"Hari ini kepunyaan saya" merupakan ungkapan yang paling indah dalam "kamus kebahagiaan", kamus bagi mereka yang ingin menikmati hidup yang paling indah dan menyeronokkan.

Razak Nordin berpesan ; La Tahzan Jilid 1. Halaman 15-17.  
◦
Share/Bookmark

Thursday, October 28, 2010

La Tahzan 3-Apa Yang Sudah Pergi, Biarlah Ia Pergi






Mengingat-ingat masa lalu dan bersedih hati kerananya adalah satu tindakan bodoh dan gila. Lebih dari itu, ia boleh mematikan kehendak dan membinasakan masa depan.

Bagi orang-orang yang waras, fail masa lalu itu sepatutnya dilipat dan disimpan, bukan dibuka dan dipersoaikan. Ia perlu ditutup buat selama-lamanya dan dikurung di dalam penjara kelupaan, diikat dengan gari di dalam kurungan yang kuat hingga ia tidak dapat keluar. Ianya perlu diperap sedemikian rupa supaya ia tidak terkena cahaya, sebab ia adalah sesuatu yang sudah berlalu dan sudah selesai. Maka ia tidak mungkin kembali dengan apa jua kesedihan, tidak dapat diubah dan diperbaiki dengan apa jua kedukaan, tidak dapat dihadirkan semula dengan apa jua kegelisahan dan tidak akan dapat dihidupkan semula dengan apa jua kebingungan-ia adalah sesuatu yang sudah tiada.

Jangan biarkan hidupmu dihantui masa lalu, jangan biarkan dirimu sentiasa dibayang-bayangi oleh sesuatu yang sudah berlalu. Adakah anda mahu mengembalikan sungai kepada sumber mata airnya, memulangkan matahari kepada tempat terbitnya, mengembalikan kanak-kanak ke dalam rahim ibunya, air susu kepada puting susu haiwan dan airmata kepada mata? Sesungguhnya meratapi masa lalu dan menangisinya akan membuatmu terbakar dengan apinya. Kembali ke pangkuan masa lalu sama sahaja dengan meletakkan anda dalam kemelut dan tragedi yang sangat dahsyat dan menakutkan.

Hidup sambil mengungkit-ungkit masa lalu bermakna mensia-siakan masa sekarang, mengoyak-ngoyak perjuangan dan memporak-perandakan masa kini. Allah SWT. sudah menceritakan tentang umat-umat yang lampau dan apa yang sudah mereka lakukan. "Yang demikian itu adalah satu umat yang sudah berlalu." Segala sesuatunya sudah selesai bagi mereka. Tidak ada gunanya lagi menghurai dan memanjangkan cerita perjalanan masa kerana ia sama sahaja dengan memutar semula perjalanan sejarah.

Sesungguhnya orang yang kembali kepada masa lalu sama dengan orang yang menggiling tepung atau orang yang menggergaji dedak kayu tetapi dirinya sendiri turut tergilas sama. Terdapat ungkapan lama terhadap mereka yang suka meratapi masa lalu: "Hei, jangan keluarkan mayat-mayat itu dari kubur mereka!" Disebutkan bahawa mereka yang boleh bercakap dengan bahasa haiwan, mereka bertanya kepada keldai: " Mengapa engkau tidak menarik kereta lagi?" Si keldai menjawab : "Aku tidak suka menipu."

Malangnya kita tidak mahu dan berusaha menangani masa kini, sebaliknya kita sibuk memikirkan masa lalu kita. Kita mensia-siakan istana-istana kita yang megah, sebaliknya kita pula sibuk menguruskan runtuhan bangunan lama.  Sekiranya manusia dan jin bekerjasama dan bertungkus lumus untuk mengembalikan masa lalu itu, nescaya mereka tidak akan berjaya, sebab pada dasarnya ia adalah mustahil.

Sesungguhnya manusia tidak perlu menoleh atau berpaling ke belakang, sebab hembusan angin sentiasa menghala ke depan, air mengalir pun menuju ke depan, kafilah berjalan pun ke arah depan. Jesteru, janganlah cuba menentang arus dan aturan hidup, sunnah alam.

Razak Nordin berpesan ; La Tahzan Jilid 1. Halaman 12-14.
◦
Share/Bookmark

Wednesday, October 27, 2010

La Tahzan 2- Bertafakur Dan Bersyukurlah

Tujuannya ialah supaya anda mengingat segala nikmat dan kurnia yang dianugerahkan oleh Allah kepada anda-nikmat yang meliputi anda dari atas dan dari bawah tapak kaki anda.

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat mengiranya."

Kesihatan tubuh badan, keamanan dalam negara, makanan, pakaian, udara dan air bersih. Anda sudah mempunyai dunia sedang anda tidak menyedarinya; anda mempunyai hidup sedang anda tidak mengetahuinya.

"Dan Dia sudah menyempurnakan nikmat-nikmatNya bagi kamu, meliputi yang zahir dan yang batin."

Ingatlah bahawa anda mempunyai sepasang mata, satu lidah, sepasang bibir, dua tangan dan dua kaki.

"Nikmat Allah yang mana lagi yang hendak kamu dustakan?"

Adakah satu perkara yang tidak mustahak bagi anda mampu berjalan menggunakan dua kaki? Bagaimana jika kedua-keduanua kudung?

Adakah satu hal yang kecil bagi anda yang masih boleh tidur lelap, sedangkan ramai orang yang tidak dapat melelapkan mata kerana menahan sakit dari penyakit yang menimpanya?

Adakah anda tidak merasa apa-apa ketika memakan makanan yang lazat sekenyangnya dan meminum minuman yang sedap sepuasnya, padahal ketika itu masih terdapat ramai orang yang tidak boleh makan dan minum kerana suatu penyakit?

Renunglah semula tentang anugerah pendengaranmu yang dijauhkan dari tuli; tentang anugerah penglihatanmu yang dijauhkan dari buta; tentang anugerah kulitmu yang terhindar dari penyakit sopak dan yang seumpamanya. Dan jangan pula lupa merenung dan memikirkan anugerah akal fikiranmu. bagaimana sekiranya anda ditakdirkan gila atau tidak siuman?

Adakah anda mahu menukar anugerah penglihatan yang anda punyai dengan emas sebesar gunung Uhud? Adakah anda rela menjual anugerah pendengaran yang anda punyai dengan perak seberat bukit? Adakah anda bersedia menukar lisan anda dengan istana-istana yang megah, tetapi selepas itu anda menjadi orang bisu? Adakah anda rela menukar kedua-dua tangan anda dengan rantai-rantai intan dan permata, tetapi selepas itu anda menjadi orang yangkudung tangan?

Sesungguhnya anda sedang diliputi nikmat yang banyak dan sangat bernilai, tetapi anda tidak menyedarinya. Mengapa anda masih bersedih hati dan bermuram durja, sedangkan pada waktu yang sama anda mempunyai makanan yang sedap, air bersih untuk diminum, boleh tidur lena dan sihat tubuh badan? Anda terus menangisi apa yang luput dari anda, bukan mensyukuri apa yang sudah anda punyai. Anda susah hati kerana mengalami kerugian harta benda, sedang pada waktu yang sama di tangan anda ada anak kunci kebahagiaan, gedung kebaikan, anugerah, nikmat dan lain-lain. Berfikirlah dan bersyukurlah.

"Terhadap diri kamu sendiri, mengapa kamu tidak perhatikan?"

Fikirkan tentang dirimu, keluargamu, rumahmu, pekerjaanmu, kesihatanmu, kawan-kawanmu dan dunia sekelilingmu.

"Mereka mengetahui nikmat Allah itu, kemudian mereka mengingkarinya."

Razak Nordin berpesan ; La Tahzan Jilid 1, halaman 10-12.
◦
Share/Bookmark