Untaian Langkah

Friday, May 25, 2012

Menjadi Burung Yang Sihat

Diceritakan, Ibrahim bin Adham berjumpa dengan Syaqiq al-Balkha di Mekah. Ibrahim bertanya, “Bagaimana mulanya sehingga kamu jadi demikian?” Syaqiq menjawab, “Aku melalui sebuah padang pasir. Kulihat seekor burung patah kedua sayapnya di situ. Maka aku berkata : Cuba lihat dari mana dia mendapat rezeki. Lalu aku memerhatikannya. Tiba-tiba kulihat seekor burung membawa belalang pada paruhnya, menghampiri dan menyuapi burung yang telah patah sayapnya itu. Maka kuberkata, “Sesungguhnya Zat yang menentukan burung ini dan burung itu adalah kuasa memberiku rezeki di manapun aku berada. Maka aku tinggalkan bekerja dan aku menyibukkan diriku dengan beribadah.” Ibrahim berkata, “Mengapa engkau tidak ingin menjadi burung yang sihat yang memberi makan kepada burung yang cacat itu sehingga lebih mulia daripadanya? Tidakkah engkau mendengar Rasulullah SAW bersabda :

“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah”

“Sepatutnya engkau tahu bahawa tanda seorang mukmin selalu mencari yang lebih tinggi di antara dua darjat dalam segala urusannya. Sehingga engkau mencapai makam orang-orang abrar.

Kemudian Syaqiq memegang tangan Ibrahim dan menciumnya sambil berkata, “Adalah engkau guruku wahai Aba Ishaq.”

Berkata Ibnu Mas’ud, “Setiap orang adalah tetamu sedangkan hartanya adalah pinjaman. Tetamu mesti pulang dan pinjaman mesti dikembalikan.”

Share/Bookmark

No comments: