Untaian Langkah

Thursday, April 21, 2011

Sudut Pandang Seorang Huzaifah







“Orang ramai selalu bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam tentang kebaikan. Sedangkan aku pula selalu bertanya kepada baginda tentang kejahatan, kerana khuatir bertemu dan terjebak dengannya” [Hadith riwayat Muslim]

Hadith dipetik dari sini.

Razak Nordin berpesan : Minuman yang lazat dari lipau nipis yang masam.

Share/Bookmark

Tuesday, April 19, 2011

Munajat Seorang HambaNya








Ya Allah Ya Aziz Ya Rahman Ya Rahim
Pengetahuanku pada kemurahanMu
Itulah  yang memberhentikan aku
di pintuMu
Bagaimana aku akan kecewa?
Sedangkan Engkaulah harapanku
Bagaimana aku akan hina?
Sedangkan Engkaulah tempat sandaran

Bagaimana aku akan mulia berbangga?
Sedangkan Engkaulah menempatkanku
dalam lemah dan hina

Bagaimana aku akan miskin?
Padahal Engkaulah yang mencukupkan

Hidupkanlah hati-hati ini
dengan makrifatMu

Matikanlah kami
sebagai pejuang agamaMu

Puaskanlah keluargaku dengan aturanMu
Berbanding aturan kami sendiri
Bantulah aku dalam menunaikan
tanggungjawab sebagai pemimpin

Ingatkanlah aku
bahawa aku hanya seorang hamba

Supaya tidak lupa

Ya Allah....Perkenankanlah permintaan ini.

Share/Bookmark

Wednesday, April 13, 2011

Kahwin Lari, Kahwin Sindiket : Suatu Perkongsian Pengalaman Orang Lain







Perkongsian ini berdasarkan sedutan dari kertas kerja yang telah disampaikan oleh Syeikh Abdul Ghani Haji Othman(Ketua Pendakwa Syarie Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah-ketika kertas kerja ini dibentangkan), pada hari Khamis, 25 Jun 2009 bertempat di INSPIN, Kedah Darul Aman sempena Seminar Pemahaman Undang-Undang Keluarga Islam yang telah saya hadiri ketika itu.

SEBAHAGIAN SEDUTAN

DEFINISI

'Kahwin lari' dimaksudkan sesuatu perkahwinan yang berlaku di luar kariah asal pengantin perempuan, yang berlaku secara tidak mendapat kebenaran dan kelulusan. 

'Kahwin sindiket' pula adalah sesuatu perkahwinan yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang tidak mempunyai otoriti bagi mendaftarkan sesuatu perkahwinan. 

PENYEBAB BERLAKUNYA PERKAHWINAN TERSEBUT

Daripada analisa yang dibuat, sepuluh penyebab utama berlakunya perkahwinan lari dan mungkin terlibat dengan sindiket, atau pelanggaran undang-undang.

Pertama : Atas anggapan perkahwinan poligami mesti mendapat keizinan isteri pertama. Dengan ini mereka yang terlibat tidak sanggup memaklumkan hasrat berpoligami kepada isteri pertama, dan kalaupun dimaklumkan mereka tidak akan mendapat keizinannya.

Kedua : Disebabkan wali dan keluarga perempuan tidak merestui perkahwinan tersebut, sama ada perkahwinan poligami atau tidak.

Ketiga : Kerana mencari jalan mudah tanpa perlu mengikuti kursus atau menjalani ujian saringan HIV dan tanpa  mengisi borang tertentu.

Keempat : Terpengaruh dengan pihak-pihak tertentu untuk menguruskan pernikahan secara senyap-senyap dan mudah.  Ada pihak tertentu terutamanya sindiket yang menawarkan perkhidmatan bagi menguruskan perkahwinan sedemikian. Mereka sanggup meredah malam di lokasi tertentu bagi menghadiri majlis aqad nikah, meredah sempadan negara untuk mendapatkan pernikahan. 

Kelima : Menyembunyikan dari pengetahuan isteri pertama dan keluarganya, dan ingin merahsiakan status lelaki yang sering didakwa tidak mempunyai isteri.  

Keenam : Perbelanjaan tidak mencukupi. Ada beranggapan perbelanjaan untuk memperisterikan seseorang wanita sekarang tinggi.

Ketujuh : Menutup malu. Iaitu menutup malu kerana telah ditangkap khalwat atau kesalahan syariah lain atau telah mengandung atau terlanjur walaupun tidak mengandung sama ada dengan pasangan tersebut atau lelaki lain.

Kelapan : Untuk bersuka-suka atau berseronok sahaja tanpa ingin memikul tanggungjawab. Ini kebanyakannya dilakukan oleh pasangan muda belasan tahun atau dalam lingkungan dua puluhan.

Kesembilan : Untuk memaksa menjalankan aktiviti tidak bermoral dan kerja maksiat seperti pelacuran, GRO, pelayan di rumah urut atau salun, tukang urut, kerja kelab malam, karaoke, bagi mendapatkan kewangan.

Kesepuluh : Membalas dendam atas penolakan peminangan, atau keluarga memutuskan pertunangan. Pihak lelaki dengan halus melindungi niatnya, tetapi setelah berkahwin lari, tembelangnya timbul kerana segala tindakannya menampakkan dendam kepada keluarga mertuanya. Hak-hak isteri diketepikan dan tidak ditunaikan, malah dipaksa mencari pendapatan untuk keluarga, ada yang disiksa, dikurung dan diancam tanpa peri kemanusiaan.


Share/Bookmark