Untaian Langkah

Friday, April 09, 2010

Kata-Kata Musuh Sesudah Ketiadaan Mu Hasan Al-Banna

PENYATAAN MOHAMMAD NAJIB

Pemimpin Tertinggi Revolusi bernama Mohammad Najib telah mengeluarkan kenyataan semasa melawat makam asy-Syahid al Imam Hasan al Banna pada 13 Februari 1953 M. Kenyataannya itu menyentuh akan perjuangan Hasan al- Banna.

Mohammad Najib adalah antara manusia yang menjadi lawan politik Hasan al Banna. Ia juga adalah musuh kepada dakwah yang didukung oleh Hasan al-Banna dan dia juga pernah mengeluarkan larangan kepada masyarakat dari menyebut-nyebut nama Hasan al Banna sepanjang masa pemerintahannya.

Antara lain pemimpin revolusi Mesir itu menyatakan :

Saudara-saudara sebangsa dan setanahair,
Di antara manusia ini ada yang hanya mahu hidup dan berfikir untuk dirinya sahaja serta mahu bekerja untuk diri sendiri. Jika mereka ini mati, tiada yang merasa akan kehilangannya.

Namun ada juga orang yang hidup dan membaktikan kehidupannya untuk umat tanpa mempedulikan kepentingan diri sendiri. Dia mengorbankan seluruh yang dimilikinya untuk kepentingan umat. Mereka ini, apabila ia mati, semua orang akan merasai kehilangannya dan hati mereka akan sepi dengan kematiannya.

Asy-Syahid Imam Hasan al Banna adalah antara manusia yang tidak habis-habis disebut oleh manusia dan setiap keluarga tak pernah melupakannya lantaran dia adalah rahmat yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. Dia tidak menggunakan hidupnya untuk dirinya melainkan untuk seluruh umat manusia.

Hasan al Banna ialah penyebar aqidah yang dia mulakan pada dirinya sendiri dan terus membuka pintu-pintu kesedaran dan memanfaatkan hidupnya untuk membela aqidahnya dengan menjalani hidup yang pahit dan mencabar. Dan dia mati dalam membela aqidahnya itu.

Dia telah meninggalkan kita dalam keadaan terhormat. Dan dia meninggalkan kita dalam keadaan luhur. Selamanya dia yakin hanya agama Allah(Islam) yang boleh menjamin kewujudan moral yang benar dan jiwa anak bangsa yang besar ini. Islamlah yang boleh menjadi jambatan keadilan, kehormatan dan kemerdekaan sebagai matlamat perjuangan.

Ini semua adalah nilai-nilai yang tinggi diperintah oleh agama ditegakkan setinggi-tingginya dan merupakan prinsip-prinsip yang mesti disebarkan di kalangan umat manusia. Kerana itulah Hasan al Banna berkeliling dari desa ke desa dan dari kota ke kota untuk mengajak perbincangan kaum cerdik pandai dan orang awam dan mencantumkan jantung hati anak bangsanya antara satu sama lain sehinggalah dia mampu melahirkan angkatan muda yang percaya kepada agama dengan keimanan yang mampu mendorongkan mereka untuk berjuang walaupun sehingga menyongsong maut dengan hati yang terbuka tulus ikhlas dan hanya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah s.w.t serta pahalaNya yang abadi tidak sekalipun tertarik, terpikat dengan kehendak duniawi ini.

Saya sungguh tidak akan pernah melupakan orang-orang yang dibina oleh pemuda Mukmin ini yang kemudiannya menceburi berjuang di medan Perang Palestin dengan gagah berani , kukuh melebihi tembok tebal yang mana satu pun dan riang menyongsong maut.

Mereka tabah dengan derita dan kesusahan yang tidak mampu dipikul kecuali oleh mereka yang telah dianugerahi keagungan oleh Allah Yang Maha Pencipta dan yang hatinya telah merasakan betapa nikmatnya keimanan itu.

Dengan kekuatan Islam dan keteguhan imannya, Hasan al Banna berbicara tentang Islam dengan penerangan yang luas dan pemahaman yang jelas sehingga mampu diterima oleh cerdik pandai dan juga orang kebanyakan, di mana mereka ini bersedia berkorban membela agama Allah  s.w.t dalam bentuk yang paling baik.

Semua orang menghormati Hasan al Banna dengan sepenuh hati, lantaran itu himpunan mereka bukanlah lunggukan suatu pertubuhan ataupun parti, melainkan himpunan suatu umat yang hati mereka telah tersimpul dengan persaudaraan yang kukuh.

Hasan al Banna rahimahullah gigih menentang kebatilan segigih perlawanan yang diberikan olehnya kepada penjajah dan senjata yang kuat dipergunakannya untuk itu adalah tiga sumber ini:

i)   Peribadi kuat yang tidak dimiliki oleh orang lain.

ii)   Keterangan-keterangan yang jelas dan dinamis, memberi arah dan lantaran menanamkan pengaruh, dan

iii)  Kemampuan memimpin dan mentadbirkan organisasi yang tidak mungkin dipunyai oleh sedikit orang yang menceburi untuk memimpin bangsa-bangsa di dunia ini.

Musuh-musuhnya dan juga musuh Mesir sedar bahawa senjata itu berada di tangan Hasan al Banna suatu senjata yang tidak pernah tumpul dan sentiasa baru. Ia merupakan senjata yang tidak mudah dipatahkan dan tidak mudah dihancurkan.

Oleh kerana itu musuh-musuhnya terpaksa bergabung tenaga yang besar untuk menyingkirkannya di ketika dia berada bersendirian tanpa pengawal dan terkepung tanpa senjata. Maka kekuatan yang merencana pembunuhannya adalah kekuatan pengkhianat sehingga mereka tetap merasa tenteram dan aman, terlindung dan selalu berada dalam keselamatan.

Mereka yang mengkhianat itu menyangka bahawa penglihatan Allah S.W.T itu buta dan kuasaNya terbelenggu, kekuasaanNya lemah dan anggapan-anggapan buruk yang lain.

Mereka mengira bahawa Allah s.w.t akan mengabaikan segala yang berlaku itu dan Allah s.w.t membiarkan orang-orang yang zalim..demikianlah tanggapan mereka.

Tetapi sampai kepada saatnya, Allah s.w.t akan menimpakan siksaNya kepada mereka dan mereka tidak akan dapat bergerak sama sekali. 'Begitulah Allah menimpakan siksaNya terhadap suatu negeri yang zalim. Sesungguhnya siksaNya amat pedih dan menyakitkan.'

Allah tidak pernah menyalahi janjiNya. Orang-orang yang zalim akan menerima akibat apa yang mereka lakukan dengan tangan mereka.

Terhadap pembunuhan Hasan al Banna dan 'Abdul Qadir Audah serta mereka yang ada bersama mereka dalam barisannya, merupakan bunga api yang memarakkan jiwa perjuangan di hati setiap orang yang ikhlas.

Mereka telah mengikiskan segala kezaliman dan kesewenangan  dari bumi ini serta membebaskannya dari kesesatan dan kerosakan. Kemudian mereka bergabung dalam barisannya dan berjuang membela tanahair dengan seluruh kemampuan yang mereka punyai dan kemenangan pun berada di pihak mereka. Sehinggalah kemerdekaan pun lahir dan bangsa ini pun terlucut dari kongkongan penjajahan.

Darah mereka yang gugur tidak sia-sia dan mereka yang telah menghidangkan kematiannya demi lahirnya kehidupan seperti mereka itu, tidak pernah mati.

'Dan janganlah engkau sekali-kali mengatakan bahawa orang yang gufgur di jalan Allah itu mati, melainkan mereka hidup. Namun kamu semua tidak menyedarinya. Demikianlah perjalanan mereka...

Begitulah ucapan panjang yang dipungut hanya sebahagian dari intipatinya sahaja bagi memperlihatkan betapa sanjungan diberikan kepada seorang pejuang Islam dari mulut musuh politiknya di kala ianya sudah tidak bersama di dunia ini.

Sumber ; Ikhwanul Muslimin. Zaman Penyiksaan Penjara Dan Tali Gantung. Abdul Muta'al AL-Jabari. Halaman 17 hingga 22. Suntingan Syeikh Fakharuddin Mohamad Taha.
Razak Nordin berpesan ; Allah Maha Besar.

Share/Bookmark

Thursday, April 08, 2010

Asy-Syahid al Imam Hasan al Banna Pernah Berpesan


Salah satu pesanan Asy-Syahid al Imam Hasan al Banna ;

"Mari kita saling bantu membantu dalam persoalan yang telah kita sepakati bersama dan saling maaf-bermaafan dalam persoalan yang kita perselisihkan. Sesungguhnya jamaah yang kuat dalam membela Islam itu, jauh lebih baik daripada yang lemah dan menguatkannya jauh lebih baik daripada melemahkannya."

Razak Nordin berpesan ; Untuk renungan.


Share/Bookmark